SKUAD bola sepak pantai negara kini di ambang sejarah baharu apabila bakal membuka kempen Piala Asia Bola Sepak Pantai 2025 menentang Bahrain dalam aksi pembukaan Kumpulan D pada Jumaat malam.

Dengan impian besar untuk melakar kejutan, pemain kebangsaan, Qushairi Asaari, menegaskan bahawa Malaysia memiliki keupayaan untuk layak ke Piala Dunia Bola Sepak Pantai buat kali pertama.

“Ya, ia satu mimpi bagi setiap pemain untuk muncul di pentas Piala Dunia, terutama bagi kami di Malaysia kerana kita belum pernah layak sebelum ini. Ini peluang terbaik untuk kita melakar sejarah,” katanya.

Sejarah mencatatkan bahawa Malaysia pernah beraksi di Kejohanan Dunia Bola Sepak Pantai (BSWC) pada 1999, namun terkandas di peringkat kumpulan selepas tewas kepada Portugal dan Amerika Syarikat.

Selepas itu, format kejohanan berubah apabila BSWC digantikan dengan Piala Dunia Bola Sepak Pantai bermula 2005, dan sejak itu, Malaysia masih belum mampu menempatkan diri di pentas tertinggi sukan tersebut.

Namun, kali ini, skuad negara hadir dengan semangat baharu dan keyakinan tinggi untuk mencipta sejarah.

Piala Asia Bola Sepak Pantai bukan sahaja pentas membuktikan kemampuan mereka, malah menjadi laluan utama untuk merealisasikan impian beraksi di Piala Dunia.

Kejohanan ini menjadi medan penting buat Malaysia untuk menguji keupayaan serta mentaliti mereka dalam persaingan di peringkat benua.

Aksi menentang Bahrain malam ini bukan sekadar perlawanan pembukaan, tetapi juga ujian pertama buat skuad negara dalam misi menempah tiket ke pentas dunia.

Dengan strategi tepat dan semangat juang tinggi, impian Malaysia untuk menembusi kelompok elit dunia tidak mustahil menjadi realiti.