BARISAN pemain lelaki yang mengaglas cabaran di Kejohanan Piala Asia, Hoki Dalam Dewan 2024, diyakini mampu mempertahan kejuaraan yang dimenangi dua tahun lalu.

Ketua jurulatih skuad hoki dalam dewan lelaki kebangsaan, Mohd Rodzhanizam Mat Radzi berkata, skuad negara bukan hanya menyasarkan kejuaraan malah slot ke Piala Dunia 2025 tahun hadapan.

Menjelang kempen Piala Asia 2024 (lelaki) yang dijadual berlangsung di Taldykorgan, Kazakhstan bermula Selasa ini (21 hingga 25 Mei), beberapa siri perlawanan persahabatan disusun.

“Beberapa siri perlawanan persahabatan dengan Singapura dan juga Thailand sudah dijalani bagi membantu kami menilai kelemahan dan kelebihan untuk di bawa ke kejohanan ini.

“Barisan kejurulatihan dan pengurusan berharap pemain akan memberikan yang terbaik untuk mempertahan kejuaraan sekali gus melangkah ke Piala Dunia 2025,” kata Rodzhanizam.

Malaysia mempertaruhkan sembilan pemain yang pernah berada dalam skuad juara 2022 dengan tambahan tiga lagi pemain iaitu Muhammad Aminuddin Mohd Zain (pertahanan), Shazril Irwan Nazli (pertahanan) dan Abdul Khaliq Hamirin (penyerang).

Menerusi undian Persekutuan Hoki Asia (AHF), Malaysia diletakkan dalam Kumpulan B bersama tuan rumah, Kazakhstan, Oman dan Indonesia manakala Kumpulan A menyaksikan persaingan antara juara lapan kali Iran, Thailand, Singapura, dan Tajikistan.