SELANGOR mengesahkan slot perlawanan akhir Piala Belia 2022 selepas menewaskan PJ City FC menerusi agregat 2-0 dalam aksi separuh akhir kedua di Stadium MBPJ, Petaling Jaya, petang ini.

Penyerang muda Selangor FC, Mohd Khairil Mohd Zain muncul wira pasukan apabila cemerlang meledak dua gol bagi meranapkan impian tuan rumah, PJ City FC yang juga bercita-cita untuk melangkah ke perlawanan akhir.

Minit ke-19 babak pertama menyaksikan perlawanan terpaksa dihentikan kerana hujan lebat disertai kilat sabung menyabung di stadium.

Terjahan bersih dilakukan pemain Selangor FC.

Setelah cuaca kembali reda, Selangor FC dilihat seakan menerima tonik baharu apabila Mohd Khairil menyumbat masuk gol pertama hasil bola muntah dari penjaga gol lawan, Azrie Ruzanie bin Anuar pada minit ke-25.

Babak kedua pula jelas didominasi Selangor FC apabila bertubi-tubi melancarkan serangan ke kubu lawan dan ianya bijak disempurnakan Mohd Khairil Mohd Zain untuk jaringan kedua Red Giants.

Minit ke-66 menyaksikan perlawanan sedikit tegang apabila penyerang PJ City FC, Ameer Nur Iman Aminuddin dijatuhkan pasukan lawan menyebabkan berlakunya ketidakpuasan hati dari pertahanan PJ City FC, Oswyn Lim Ding Zhi yang mempersoalkan tindakan pertahanan Selangor FC kerana menjatuhkan rakannya.

PJ City melakukan asakan ke kubu Selangor FC.

Kedudukan tersebut kekal sehingga wisel penamat menyaksikan Selangor FC menang dengan agregat 2-0 sekaligus mara ke perlawanan akhir bertemu Sri Pahang FC.

Kali terakhir Selangor FC mara ke perlawanan akhir adalah pada 2016 namun tewas kepada Sekolah Sukan Bukit Jalil dengan agregat 1-3 sementara PJ City FC mara sehingga ke peringkat separuh akhir sepanjang penampilan pertama Piala Belia dianjurkan.

Sementara itu, Sri Pahang berjaya menumbangkan Terengganu FC IV menerusi agregat 6-4 biarpun tewas 1-3 dalam satu lagi peringkat separuh akhir di Padang Bolasepak (A) Muadzam Shah.

Final akan berlangsung secara timbal balik pada 19 dan 26 Ogos 2022.