PERTAHANAN Kuching City FC, Amir Amri Salleh tekad untuk membantu pasukan menjaringkan gol di pentas akhir Piala Cabaran iaitu menentang PDRM FC pada Rabu ini.
Walaupun perlawanan di peringkat akhir merupakan aksi pertama baginya, hal itu tidak menjejaskan tahap keyakinan Amir malah dia sendiri meluahkan kegembiraan dan rasa semangat untuk memberi yang terbaik buat pasukannya.
Namun, pemain berusia 24 tahun itu turut mengakui bahawa kekuatan PDRM sememangnya tidak boleh diduga dan adanya pemain-pemain ‘import’ seperti Bruno Suzuki dan Uche Agba telah menajamkan lagi prestasi pasukannya.
“Kita boleh lihat momentum PDRM yang konsisten di liga dan saya akui mereka pasukan yang bagus. Oleh itu, beberapa pemain utama mereka seperti Bruno Suzuki, Uche Agba dan Nabil Ahmad Latpi perlu diawasi lagi.
“Walau bagaimanapun, saya percaya bahawa pasukan saya mampu hasilkan persembahan yang terbaik dan gunakan 100 peratus tenaga untuk bermain dalam tempoh minit yang diberikan oleh jurulatih.
“Saya juga perlu membantu pasukan saya, saya mahu jaringkan gol dalam Piala Cabaran ini kerana setelah sekian lama saya tidak dapat membuat jaringan,” ujarnya kepada FLASH SUKAN.
Amir yang kini mempunyai dua gol dalam liga pada musim ini berharap satu keajaiban dapat dihasilkan sejurus membuktikan kemampuan dirinya dalam berdepan dengan skuad ‘Sang Saka Biru’ di Majlis Bandaraya Petaling Jaya pada 29 November 2023.