PERLAWANAN akhir pertama Piala Cabaran 2023 yang menyaksikan pasukan PDRM FC bertemu Kuching City FC akan berlangsung di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), pada 29 November 2023.

Jelas saingan yang cukup sengit bakal menghangatkan lagi suasana di stadium yang berkapasiti 25,000 orang sejurus menyuntik semangat antara kedua-dua pasukan untuk mendahului perlawanan akhir pertama ini.

Walaupun PDRM FC mempunyai kelebihan lebih kerana berada di tempat kelapan dalam carta Liga Super berbanding Kuching City yang menduduki tangga ke-13, ianya tidak sesekali menjamin tuah kemenangan akan dimiliki oleh skuad The Cops itu sendiri.

Kemungkinan juga strategi yang dicaturkan oleh pengendali Kuching City, Aidil Sharin Sahak bakal memberi satu kemenangan buat julung kalinya kepada pasukan.

Bagi mengimbas kembali perjalanan kedua-dua pasukan yang layak ke pentas akhir, PDRM FC telah mengesahkan slot ke final Piala Cabaran apabila mengecewakan Penang FC 4-1 pada aksi separuh akhir kedua di laman sendiri, Stadium MBPJ.

Manakala, pasukan The Cats pula berjaya mara ke final Piala Cabaran 2023 selepas menyingkirkan Kelantan United FC pada perlawanan separuh akhir kedua dengan agregat 3-1 di Stadium Sultan Muhammad ke IV, Kota Bharu.

Penentuan pertama bagi gelaran juara Piala Cabaran MFL 2023 akan berlangsung esok (Rabu) tepat jam 9 malam dan aksi muktamad iaitu perlawanan akhir kedua Piala Cabaran ini akan berlangsung pada Ahad, 3 Disember 2023 di Stadium Negeri Kuching, Sarawak.