YOUSSEF En-Nesyri mungkin melakukan tandukan kemenangan buat Maghribi ketika mengatasi Portugal, namun tahukah anda bahawa dia juga mengatasi rekod tandukan paling tinggi, mengatasi bintang Portugal itu.
Mungkin dia sendiri hanya menyedari namanya meningkat naik kerana membantu Maghribi muncul pasukan pertama Afrika layak ke separuh akhir Piala Dunia dalam sejarah.
Penyerang Sevilla itu melonjak tinggi mengatasi pemain lain dan menanduk masuk bola yang menyaksikan penjaga gol Diogo Costa tersilap agak arah bola itu.
Menurut laporan beIn Sports menerusi ciapan Twitter mereka, lompatan En-Nesyri menjadi satu sejarah apabila menanduk dari ketinggian 2.78 meter.
We need to talk about Youssef En-Nesyri's vertical 🐰⬆️ pic.twitter.com/wzvAIz9Oby
— ESPN FC (@ESPNFC) December 11, 2022
Oleh itu, penyerang Sevilla itu mengatasi ketinggian tandukan Cristiano Ronaldo menentang Sampdoria ketika dia bermain untuk Juventus, dengan catatan 2.5 meter.
En-Nesyri, yang tidak beraksi baik bersama Sevilla setakat musim ini, sudah meraih dua gol pada Piala Dunia kali ini, tetapi gol terakhirnya adalah yang paling penting dalam sejarah negaranya.
Ironinya Ronaldo turut berada di padang yang sama apabila rekod itu dipecahkan.
Dia diletakkan di bangku simpanan sekali lagi oleh jurulatih Fernando Santos yang memilih Goncalo Ramos, penjaring hatrik ketika pusingan 16 terakhir menentang Switzerland.
Ronaldo dimasukkan selepas 51 minit ketika Portugal ketinggalan 1-0, tetapi dia tidak mampu memberi impak dan kini kelihatan tidak mungkin memenangi Piala Dunia dalam kariernya.