PENGANJURAN kejohanan Piala Dunia bukanlah satu perkara yang mudah dan melibatkan kos yang sangat tinggi untuk menyediakan fasiliti yang berkelas dunia selain pelbagai lagi fasiliti sokongan seperti sistem pengangkutan.

Qatar telah membelanjakan lebih USD220 bilion untuk mempersiapkan diri menjadi penganjur dengan membina hampir kesemua stadium baharu selain jaringan jalan raya, lapangan terbang baharu serta pelbagai kemudahan lain.

Dikala Qatar dikritik kerana membelanjakan wang yang banyak sekaligus menjadikan Piala Dunia 2022 ini sebagai Piala Dunia termahal dalam sejarah namun tidak ramai yang sedar akan pulangan yang bakal diterima Qatar dari segi impak terhadap ekonomi.

 

Dengan menganjurkan Piala Dunia, Qatar telah berjaya menjual lebih 240,000 pakej hospitaliti yang bakal menepatkan para VIP dan individu penting dalam bola sepak dan negara-negara yang bertanding.

Dengan harga bermula dari USD 950 hingga USD202,000 ianya pasti akan memberikan satu pengalaman menonton bola sepak yang mengagumkan bagi para peminat yang berkemampuan untuk merasai pakej hospitaliti ini.

Selain pakej hospitaliti, Qatar juga berjaya menjual hampir tiga juta tiket untuk kesemua 64 perlawanan yang bakal dilangsungkan dengan janaan pendapatan dijangka mencecah berbilion dolar Amerika.

Pendapatan utama melalui sukan adalah menerusi hak penyiaran televisyen dan Qatar berjaya menjual USD1 bilion hak penyiaran kepada ratusan stesen televisyen yang mahukan aksi Piala Dunia disiarkan di saluran masing-masing.

 

Tidak cukup dengan itu, ekonomi Qatar juga menerima unjuran lebih USD17 bilion menerusi kehadiran penyokong yang akan membelanjakan wang mereka di industri pelancongan seperti kemudahan penginapan, makanan dan minuman serta membeli belah.

Apa yang pasti penganjuran Piala Dunia ini akan membawa nama Qatar sebaris tuan rumah yang lain dan dengan terbinanya fasiliti yang berkelas dunia ini, lebih banyak acara sukan mampu dianjurkan oleh Qatar selepas ini.

Piala Dunia FIFA Qatar 2022 akan membuka tirai pada 20 November 2022 antara pasukan tuan rumah dan Equador dengan perlawanan akhir dijadualkan pada 18 Disember 2022 di Stadium Lusail.