QATAR dimalukan di laman sendiri apabila terpaksa akur tewas 0-2 menerusi ledakan Enner Valencia dari Ecuador pada aksi pembukaan Piala Dunia Qatar, awal pagi Isnin.

Pengendali pasukan bola sepak Qatar, Felix Sanchez mengakui intensiti bermain sebagai tuan rumah dalam aksi pembukaan jelas mengundang mimpi ngeri buat gergasi Asia itu.

Lebih memalukan, apabila segala transisi dan hantaran yang dilakukan hanya berjaya dibuat sebanyak empat kali sahaja.

“Masih ada ruang yang banyak untuk diperbaiki. Kita tidak dapat bermain pada tahap terbaik kita. Mungkin tanggungjawab yang berat ini menyebabkan kita agak gugup pada perlawanan pembukaan.

“Kita bermula dengan sangat teruk. Segala hantaran juga tidak menepati sasaran teknikal. Kita tidak berupaya menghantar secara tepat lebih dari empat kali.

“Mereka sangat berdisplin dan bermain secara bertahan. Kita membenarkan pemain mereka berlegar dengan selesa di kawasan kita.  Transisi yang kita lakukan kelihatan tidak seimbang dan ini sangat menyakitkan kita,” jelasnya.

Bukan hanya tampil dengan persembahan mengecewakan, malah penyokong pasukan Qatar juga dilihat tidak menunjukkan semangat kesukanan yang tinggi apabila sudah meninggalkan stadium sebaik pasukan mereka ketinggalan 0-2 menentang Ecuador pada babak pertama.

Beberapa tempat duduk yang kelihatan kosong juga memperlihatkan suasana suram penyokong tuan rumah yang dilihat tidak berminat meskipun aksi pembukaan turut menyenaraikan artis popular Korea, Jungkook.