PENYERANG Senegal, Sadio Mane terpaksa melupakan hasrat membantu pasukannya beraksi di Piala Dunia Qatar 2022 apabila masih bergelut dengan kecederaan lutut yang memaksanya menjalani pembedahan.

Konfederasi Bolasepak Senegal mengesahkan pemain berusia 30 tahun itu sah tidak akan beraksi bagi kempen Piala Dunia kali ini.

Dalam pada itu, pemeriksaan lanjut MRI mengesahkan pemain tersebut perlu menjalani pembedahan di bahagian lututnya.

Segala-galanya terpaksa ditelan Mane dalam aksi berdepan Werder Bremen pada saingan Bundesliga apabila dia terpaksa dikeluarkan setelah lututnya tidak mampu berfungsi seperti sediakala.

Sementara itu, Kelab Bayern Munich memaklumkan bahawa pembedahan membetulkan tendon ke fibula di bahagian kanan lututnya tersebut sudahpun berjaya dibedah.

Kini, pemain tersebut sedang menjalani rawatan pemulihan dan proses rehabilitasi bagi menguatkan semula bahagian lututnya.

Senegal berada dalam Kumpulan A dan bakal berdepan Belanda Isnin ini sebelum bertemu tuan rumah Qatar (25 November) dan Ecuador (29 November).