KEPUTUSAN Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) hanya menyediakan akreditasi kepada 30 pemain termasuk pegawai sesebuah pasukan yang layak ke Piala Dunia 2023, menyaksikan ketua jurulatih skuad hoki lelaki negara, A Arulselvaraj, terpaksa mengorbankan ‘orang kanannya’ iaitu penolong jurulatih, Muhamad Amin Rahim.
Beliau berkata, Amin tidak akan bersama pasukan menghadapi saingan Piala Dunia 2023 di Bhubaneswar-Rourkela, India bermula 13 hingga 29 Januari ini dan beliau terpaksa membuat percaturan strategik, membawa staf kejurulatihan tertentu sahaja.
Arul mengakui, ketiadaan Amin satu kehilangan besar buat pasukannya namun percaya ia tidak akan menjejaskan misi mereka untuk melepasi saingan peringkat kumpulan.
“Saya sentiasa mahukan yang terbaik bersama saya, sebab itu saya ada ramai staf kejurulatihan kerana mereka tulang belakang saya. Namun, Piala Dunia kali ini ada perubahan kerana hanya 30 kad akreditasi diberikan kepada satu pasukan.
“Jadi, saya tidak dapat gunakan kepakaran empat hingga lima staf seperti pakar pemakanan, psikologi, pegawai media, fisioterapi dan paling ketara sekali orang kanan saya iaitu Amin Rahim.
“Amin perlukan masa kerana Piala Dunia Hoki Remaja di Malaysia tahun ini. Skuad remaja juga baru berlatih semalam dan perlu bersiap ke Australia pada 18 Januari sebelum ke Piala Remaja Asia 2023,” katanya, dalam sidang media selepas Majlis Penyerahan Jalur Gemilang kepada skuad negara yang disempurnakan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil.
Begitupun, Arul menjelaskan, Amin tetap membantu Malaysian Tigers biarpun tanpa kelibatnya bersama pasukan di sana.
Pada saingan Piala Dunia kali ini, Malaysia diundi dalam Kumpulan C bersama New Zealand, Chile dan juara tiga kali, Belanda.
Skuad negara yang kini di kedudukan ranking ke-11 dunia akan menghadapi dua aksi peringkat kumpulan di Stadium Hoki Birsa Munda, Rourkela menentang Belanda (14 Januari) dan Chile (16 Januari) sebelum bertemu New Zealand di Bhubaneswar pada 19 Januari.