SPEEDY Tigers perlu mengiktiraf hakikat Sepanyol sebuah pasukan yang lebih baik daripada mereka, demi mereka cepat melupakan episod mengecewakan selepas terlepas peluang ke suku akhir Piala Dunia 2023 di Bhubaneswar, semalam.
Ketua jurulatih A Arulselvaraj berkata, beliau bersama pengurusan pasukan berusaha gigih untuk mengembalikan semangat pemain, untuk bangkit pada perlawanan klasifikasi untuk mendapatkan kedudukan terbaik yang mampu pada kejohanan kali ini.
“Pemain perlu menerima kekalahan ini, mengakuinya barulah mudah untuk melepaskan apa yang terbelenggu dalam hati.
“Sepanyol sememangnya berada pada satu kelas berbeza kerana pendedahan yang mereka ada. Mereka sering beraksi di Sukan Olimpik malah bermain dalam Liga Pro FIH, berbanding kita, sudah lima kali terlepas aksi di Olimpik,” kata Arul.
Tambah Arul, beliau berpuas hati dengan semangat perjuangan pemain yang berhabis-habisan mengerah keringat dan beliau sedar hajat besar pemain mahu ke suku akhir, menyebabkan mereka berasa kekecewaan yang mendalam.
Skuad negara perlu bertolak ke Rourkela, untuk meneruskan aksi klasifikasi 9-16 dan dijadualkan bertemu Afrika Selatan, Rabu ini.
Difahamkan, semua pasukan yang akan kembali ke Rourkela perlu menempuh perjalanan panjang kerana tiada lagi penerbangan terus dari Bhubaneswar.
Sebaliknya, pasukan akan menempuh perjalanan sejauh kira-kira 350 kilometer (km) menaiki pesawat namun turun ke destinasi lain yang belum diberitahu, sebelum menaiki bas yang memakan masa lebih dua jam untuk ke Rourkela.
Menurut sumber, pengkalan tentera udara India di Rourkela tidak lagi dibuka kepada penerbangan komersil.
Jika tidak menaiki pesawat, perjalanan terus menaiki kereta dari Bhubaneswar ke Rourkela memakan masa hampir 8 jam, malah penggunaan keretapi pula boleh mencecah lebih 10 jam perjalanan.
Moral pemain perlu dipulihkan segera kerana tidak banyak masa yang tinggal untuk mereka melakukan persiapan dan hanya kemenangan ke atas Afrika Selatan, Rabu ini mampu memperbaiki kedudukan lalu ketika menamatkan saingan di tempat ke-15 pada edisi 2018.