MALAYSIA berjaya menamatkan kempen kali ini di tangga ke-13 Piala Dunia 2023 selepas berjaya menjinakkan Jepun 3-2 pada aksi klasifikasi tempat ke-13 hingga ke-16 di Stadium Birsa Munda, Rourkela, Sabtu.
Bagi pengendali skuad hoki kebangsaan, A. Arul Selvaraj berpuas hati dengan prestasi yang ditunjukkan anak-anak buahnya sepanjang kempen Piala Dunia kali ini dan menganggap kemenangan ke atas Jepun ini akan meningkatkan lagi semangat para pemain dan juga sebagai pemangkin untuk persediaan menjelang Sukan Asia.
FIH Odisha Hockey Men’s World Cup 2023
13 / 16 Classification – 28 Jan 2023
FULL TIME
Malaysia 3- 2 Japan
8' PC Shello Silverius
24' FG Kaito Tanaka
32' FG Seren Tanaka
32' FG Shello Silverius
34' FG Shahmie Irfan Suhaimi pic.twitter.com/1McivfoTSG— MHC (@hockeymalaysia) January 28, 2023
“Pemain bangkit dengan cemerlang terutama pada dua suku pertama dengan pergerakan bola dan positioning diatas padang menunjukkan kesungguhan pemain untuk menggerakkan bola dan mencari kemenangan.
“Walaupun kita memberikan banyak pukulan sudut penalti kepada Jepun namun pelari pertama dan penjaga gol kita berjaya melakukan tugas mereka dengan cemerlang dan kita juga berjaya melaksanakan taktikal sudut penalti dengan baik untuk meraih jaringan.
“Pemain-pemain bangkit untuk mendapatkan kemenangan kerana kemenangan ini dapat membawa emosi gembira ke Malaysia dan untuk persediaan kami ke Sukan Asia. Selepas pemain melakukan sesi ‘open heart’ masing-masing sedar akan tanggungjawab mereka dan saya dapat lihat perkara itu daripada setiap pemain bagi memastikan kemenangan,” jelas Arul selepas perlawanan.
Mengulas tentang aksi keseluruhan Speedy Tigers di Piala Dunia kali ini, Arul menjelaskan secara keseluruhan pemain menunjukkan aksi yang baik dan cemerlang dengan komitmen dan disiplin taktikal yang tinggi.
“Walaupun kita hanya menamatkan kempen Piala Dunia kali ini di kelompok ke-13 hingga ke-16, namun secara keseluruhan dari enam perlawanan, kita menang tiga, kalah dua dan seri sekali. Kalau dipecahkan kepada suku dari 24 suku hanya dua suku kita gagal bermain dengan baik iaitu ketika bertemu Afrika Selatan.
“Secara keseluruhan pemain menunjukkan aksi yang baik dan cemerlang dengan komitmen dan disiplin taktikal yang tinggi. Kita tewas dalam perlawanan yang salah dan kita juga berjaya menjaringkan gol padang selain pelari pertama kita yang banyak menahan pukulan sudut penalti lawan.
“Saya sebagai Ketua Jurulatih berpuas hati dengan persembahan yang ditunjukkan oleh kesemua pemain dan kami akan bawa kemenangan yang penting ini pulang untuk persediaan pasukan selepas ini menjelang Sukan Asia.
“Kami mahu menggunakan kejohanan jemputan di Perth dan Piala Sultan Azlan Shah dengan menjemput tiga pasukan tertinggi dalam ranking, Australia, Belgium dan Belanda kerana kami mahukan para pemain dapat membuat keputusan dalam tekanan selain bermain dalam tempo yang pantas,” tambahnya.
Pada Piala Dunia kali ini Malaysia berjaya menang tiga kali ke atas Chile, New Zealand dan Jepun manakala tewas dua kali kepada Belanda dan Afrika Selatan serta seri sekali dengan Sepanyol.