PRESIDEN Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Datuk Seri Subahan Kamal yakin Malaysian Tigers mampu memberikan saingan sengit buat New Zealand pada aksi terakhir Kumpulan C, pada Khamis.
Skuad bimbingan Arul Selvaraj kini menduduki tangga ke-10 dengan mengumpul 1,863.52 mata selepas menang tipis 3-2 ke atas Chile manakala New Zealand di tempat kesembilan dengan 1,926 mata.
Tegasnya, perlawanan menentang New Zealand petang esok adalah sama rata dan jurulatih tahu apa yang perlu dilakukan.
“Apa pun boleh berlaku, peluang menentang lawan adalah sama rata, pemain pasti akan melakukan yang terbaik, InsyAllah saya yakin kita akan pamerkan aksi terbaik.
“Begitu juga pemain muda yang menunjukkan prestasi berkualiti. Saya yakin Malaysia akan beri tentangan dan jika ditakdirkan InsyAllah kita akan menewaskan New Zealand,” katanya.
Malaysia dan New Zealand akan bertemu di Bhubaneswar, Khamis ini untuk perlawanan terakhir Kumpulan C dan sekiranya anak buah Arul Selvaraj dapat meraih kemenangan, ia akan menyaksikan mereka berpeluang naik di ranking lebih tinggi kerana hanya 62.48 mata memisahkan kedua-dua pasukan.
Skuad Malaysia dan New Zealand dilihat mempunyai kualiti sama selepas kedua-duanya dibelasah 0-4 oleh Belanda dan meraih kemenangan ke atas Chile.
Anak didik Arul Selvaraj dilihat bergelut untuk menewaskan Chile 3-2 pada aksi kedua manakala New Zealand terpaksa mempamerkan aksi paling terbaik untuk menewaskan Chile 3-1.
Malaysia menaiki penerbangan sejauh 800km dari Rourkela ke Bhubaneswar untuk menghadapi aksi terakhir peringkat kumpulan menentang New Zealand.
Jika menang, mereka menduduki tangga kedua Kumpulan C dan akan menentang pasukan di tangga ketiga Kumpulan D sama ada Wales atau Sepanyol pada saingan seterusnya.