KEKALAHAN tetap perlu diiktiraf sebagai kalah namun banyak perkara positif diperoleh pada aksi pertama skuad hoki negara, ketika tewas 4-0 kepada Belanda, dalam aksi sulung Piala Dunia 2023, semalam.
Penjaga gol kebangsaan, Muhammad Hafizuddin Othman berkata, segala aspek positif itu akan digunakan sebaik mungkin pada pertemuan menentang Chile, esok.
“Tewas empat gol, tapi kita dapati banyak perkara positif boleh digunakan pasukan untuk menentang Chile esok.
“Perkara negatif juga banyak namun kami sudah menyedarinya dan akan memperbetul keadaan pada perlawanan kedua nanti,” kata Hafizuddin, yang sibuk mengawal gawang Malaysian Tigers, semalam.
Menurutnya, skuad negara amat memerlukan kemenangan pertama dalam kejohanan ketika menentang Chile, kerana keputusan pada perlawanan itu bakal menjadi hala tuju pasukan bimbingan A Arulselvaraj.
“Saya dan rakan-rakan berjanji berjuang sehabis baik esok kerana kami sedar perlawanan itu amat penting. Namun, kami juga sedar Chile yang kalah pada perlawanan pertama kepada New Zealand tidak boleh dipandang ringan,” katanya.
Pada satu lagi perlawanan kumpulan C semalam, Chile yang beraksi buat kali pertama di Piala Dunia, tewas 1-3 kepada New Zealand, sekali gus menduduki tangga ketiga kumpulan, di atas Malaysia.
Sementara itu, pengendali skuad negara mahu pemain meningkatkan kualiti ketika bertahan.
“Saya mahu pemain improve dari segi individual awareness dan individual skill perlu diperbaiki,” kata Arul.
Menurut jurulatih itu, pemain juga tidak boleh mensia-siakan setiap peluang seperti kegagalan mendapatkan gol ketika diberi tiga pukulan sudut penalti: “Menentang Chile, kita perlu ubah sedikit corak permainan untuk mendapatkan kemenangan.”