PENGURUS pasukan hoki lelaki kebangsaan, Datuk Mirnawan Nawawi berkongsi beberapa perkara yang perlu diberikan perhatian oleh para pemain menjelang aksi pembukaan Piala Dunia Hoki 2023 pada Sabtu.
Legenda hoki negara itu juga berpesan agar pemain memberikan segala yang mereka ada dan melakukan apa yang telah ditetapkan oleh jurulatih terutama dari sudut taktikal.
Bercakap kepada FLASH SUKAN, Datuk Mirnawan yang pernah bermain di Piala Dunia turut gembira dengan keadaan semua pemain dan bersedia untuk menghadapi kempen kali ini dengan sasaran mahu melepasi peringkat kumpulan.
“Kami hanya mempunyai satu sesi latihan di padang pada hari ini. Ianya lebih kepada latihan ringan yang memberikan lebih tumpuan kepada pukulan sudut penalti, ‘set play’ dan teknikal pemain secara individu.
“Apa yang penting satu hari sebelum kejohanan bermula adalah persiapan dari segi mental dan ‘tactical approach’ untuk berhadapan lawan diperlawanan pertama. Selain itu, pemain-pemain juga harus tenang kerana semua persiapan telah dilakukan oleh pengurusan dan barisan kejurulatihan pasukan.
“Pemain hanya perlu fokus untuk memberikan segala keringat mereka dengan melaksanakan apa yang dituntut oleh jurulatih dengan berkesan diatas padang dan jangan fikirkan apa keputusan perlawanan tetapi hanya fokus kepada persembahan individu dan persembahan sepasukan,” katanya.
Skuad negara kini dilihat semakin meningkat prestasinya hasil penekanan sains sukan yang diterapkan oleh Ketua Jurulatih, A. Arul Selvaraj dan kempen Piala Dunia ini adalah medan terbaik buat Malaysia untuk memperbaiki ranking dunia.
Malaysia akan memulakan kempen Piala Dunia behadapan Belanda pada Sabtu sebelum bertemu Chile pada 16 Januari 2023 dan mengakhiri aksi Kumpulan C bertemu New Zealand pada 19 Januari 2023.