SKUAD negara menempah tiket ke separuh akhir Piala Dunia Hoki 5 sebelah (5’s), selepas mengatasi Trinadad & Tobago (T&T) dalam aksi dramatik yang menghasilkan sembilan gol.

Berbekalkan pengalaman beberapa pemain yang pernah meraih pingat emas Olimpik Remaja 2018 dan gabungan beberapa pemain kebangsaan hoki padang, skuad bimbingan Wallace Tan itu berjaya membendung kemaraan pemain T&T ketika mengatasi pasukan itu 5-4 di suku akhir.

Pemain pertahanan, Mohamad Kamarulzaman Kamaruddin berkata, kepercayaan diri yang tingga dalam diri setiap pemain menjadi kunci kemenangan.

Pemain negara meraikan jaringan keempat, ketika Malaysia menewaskan Trinadad & Tobago 5-4 di suku akhir Piala Dunia Hoki 5’s, di Muscat, Oman. | Foto FIH

“Saya rasa kemenangan kami adalah atas kerja keras, bermain secara bijak dan percaya bahawa kami boleh menang hari ini,” kata Kamarulzaman.

Terdahulu, T&T tiga kali mendahului pasukan negara, memperoleh gol menerusi jaringan Akim Toussaint padaminit keenam, Mickell Pierre (m10), Tariq Marcano (m14) dan Teague Marcano (m30).

Selain menyerang memburu gol, pemain negara juga bertahan dengan baik. | Foto FIH

Manakala jaringan skuad negara dicipta Mohamad Akhimullah Anuar Esook pada minit kesembilan, Luqman Nul Hakim Ahmad Shukran (m12), Muhammad Abid Sufian Mat Ruslee (m17), Kamarulzaman (m22) dan Syarman Mat Tee (m25).

Kemenangan itu membolehkan Malaysia ke separuh akhir dan akan membuat perhitungan dengan Poland, jam 1.30 pagi nanti.

“Menentang Poland, saya rasa kami akan tumpukan secara taktikal kerana peluang buat kedua-dua pasukan adalah 50-50 tetapi tentunya saya harap kami akan menang,” kata Kamarulzaman.