PERSATUAN Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) memastikan tiada sekatan terhadap pengibaran bendera Palestin pada Piala Dunia B-17 2023.
Setiausaha Agung PSSI, Yunus Nusi ketika di Surabaya pada Isnin berkata, Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) membenarkan bendera Palestin dikibarkan di stadium.
“Oh, tidak ada (sekatan daripada Fifa). Mereka tidak mengulas mengenainya (banyak bendera Palestin di stadium) kerana mereka juga tahu bahawa ia tidak dilarang.
“Mereka (Fifa) diam. Mereka tidak mengulas mengenai perkara ini. Ya (sudah pasti Indonesia tidak akan dikenakan sekatan oleh Fifa),” kata Yunus memetik laporan dari CNN Indonesia.
Semasa Piala Dunia B-17 2023 bermula 10 November, banyak bendera dikibarkan di dalam stadium. Bukan sahaja di Surabaya, malah di Bandung, Solo dan Jakarta.
Bendera Palestin dibawa masuk ke stadium kerana majoriti rakyat Indonesia menyokong Palestin yang kini berkonflik dengan Israel di Semenanjung Gaza.
Pada 6 November 2023, Pengerusi PSSI Erick Thohir mengesahkan telah berkoordinasi dengan FIFA berhubung fenomena pengibaran bendera Palestin di Indonesia semasa perlawanan Liga 1.
Erick menyatakan bahawa Fifa menghormati bentuk kebebasan bersuara, termasuk tindakan menaikkan bendera Palestin. Beliau menyatakan bahawa tidak akan ada sekatan berkaitan perkara ini.