KOREA Selatan berhak mara ke separuh akhir Piala Dunia B-20 2023 selepas menang dramatik 1-0 ke atas Nigeria di Stadium Unico Madre De Ciudades, Argentina awal pagi Isnin.
Perlawanan Korea Selatan bertemu Nigeria sentiasa getir sejak awal permainan. Kedua-dua pasukan mengalami kesukaran untuk menjaringkan gol dalam masa sebenar dan diteruskan ke pusingan masa tambahan 30 minit.
Nigeria memiliki lebih banyak peluang berbanding Korea Selatan. Bagaimanapun, ketangkasan penjaga gol, Ju Hong Kim berjaya mengecewakan pemain Nigeria.
FULLTIME IN ARGENTINA:
🇰🇷 South Korea 1-0 Nigeria 🇳🇬
KOR – Choi 95’SOUTH KOREA IS HEADED BACK TO THE #U20WC SEMIFINALS! pic.twitter.com/eDfA3qtnh9
— U20 World Cup 🏆 (@WorldCup_U20) June 4, 2023
Terdapat sekurang-kurangnya lima peluang keemasan untuk Nigeria yang berjaya ditepis oleh Ju Hong Kim sepanjang 90 minit. Sementara itu Korea bergelut untuk menghasilkan peluang gol.
Bagaimanapun, kesabaran Young Taeguk Warrior membuahkan hasil menerusi jaringan Choi Seok Hyun pada minit ke-95.
Gol ini berpunca daripada pergerakan Lee Seung Won dari sebelah kiri dan meneruskan hantaran lintang ke dalam kotak penalti. Choi Seok Hyun yang berada dalam posisi ideal berjaya menanduk bola untuk membawa Korea Selatan 1-0.
Ketinggalan satu gol menjadikan Nigeria tampil lebih gigih. Jurulatih Ladan Isah Bosso mengarahkan pasukannya melakukan serangan secara habis-habisan, namun tiada satu pun peluang itu ditukar menjadi gol sehingga permainan tamat.
Keputusan ini meletakkan Korea Selatan menjadi pasukan ketiga layak ke separuh akhir Piala Dunia B-20 2023. Dua lagi pasukan yang telah pun meraih slot ke separuh akhir adalah Israel dan Itali.
Korea Selatan akan menentang Itali pada separuh akhir yang akan berlangsung pada 8 Jun ini.