JANGAN terkejut sekiranya Qatar dipilih Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) menjadi tuan rumah baharu kejohanan Piala Dunia B-20 2023 menggantikan Indonesia yang dibatalkan status penganjuran.

Jelas sumber kepada FLASH SUKAN, pemilihan Doha sebagai dilihat tepat dan efektif memandangkan negara itu baru selesai mengajurkan Piala Dunia 2022 yang gilang gemilang dan menyaksikan Argentina muncul juara.

“Masih pada peringkat awal namun kita tunggu keputusan akan diumumkan Fifa pada Sabtu atau Ahad ini.

“Kemampuan Qatar tidak boleh dipertikaikan kerana ada rekod cemerlang dalam menganjurkan sukan bertaraf antarabangsa yang amat disegani di seluruh dunia.

“Tidak syak lagi, Doha paling layak dipilih Fifa,” katanya enggan mendedahkan butiran terperinci mengenai pemilihan hos baharu nanti.

Tahun lepas, tuan rumah Piala Dunia 2022 itu telah dipilih bagi menggantikan China bagi menganjurkan Piala Asia 2024.

Satu-satunya negara yang berpotensi adalah Argentina yang turut menghantar permohonan. Pemilik enam kejuaraan Piala Dunia B-20 itu pada mulanya disahkan tidak menyertai acara ini kerana tidak layak dari zon CONMEBOL.

Malah mereka tumbang sejak pusingan pertama peringkat kumpulan daripada format dua pusingan sedia ada.