PIALA Dunia Fifa B-17 tahun membuka tirai di Indonesia pada Jumaat dengan dua perlawanan Kumpulan A berlangsung di Gelora Bung Tomo, Surabaya dan dua lagi aksi Kumpulan B diadakan di Stadium Manahan, Surakarta.
Indonesia yang diberikan hak penganjuran selepas Peru menarik diri pada saat akhir menampilkan empat stadium di empat Kota di Pulau Jawa dan sambutan yang diberikan kepada kejohanan dunia ini sangat menggalakkan dari penduduk setempat.
Perlawanan pembukaan Kumpulan A antara Panama dan Maghribi di Surabaya disaksikan 13,437 penyokong sebelum aksi tuan rumah, Indonesia bertemu Ecuador disaksikan oleh 30,583 penyokong yang rata-ratanya adalah pendukung Timnas Indonesia.
Day 1 is in the books 📚#U17WC
— FIFA World Cup (@FIFAWorldCup) November 10, 2023
Maghribi kini mendahului Kumpulan A selepas menang 2-0 ke atas Panama manakala Indonesia berjaya mengikat Ecuador 1-1 untuk berkongsi tempat kedua dan ketiga dengan Panama di tangga terbawah.
Dalam aksi Kumpulan B di Stadium Manahan, Surakarta pula, jaringan hatrik Mamadou Doumbia membantu Mali menewaskan Uzbekistan 3-0 yang disaksikan 3,014 penyokong sekaligus mendahului kumpulan.
Sepanyol mengekori rapat dengan menduduki tangga kedua selepas menang keatas Kanada 2-0 yang disaksikan 6,614 penyokong untuk mengakhiri hari pertama kejohanan ini.
Kehadiran penyokong pada hari pertama mencatatkan angka 53,468 orang penyokong dengan purata 13,412 dan angka ini dijangka akan bertambah apabila empat lagi perlawanan akan berlangsung pada Sabtu di Jakarta dan Bandung.
New Caledonia akan memulakan aksi dalam Kumpulan C menentang England sebelum juara bertahan, Brazil bertemu Iran di Stadium Antarabangsa Jakarta manakala perlawanan Kumpulan D menemukan Jepun dan Poland serta Argentina dan Senegal akan diadakan di Stadium Jalak Harupat, Bandung.
Piala Dunia B-17 tahun menampilkan 24 pasukan dari enam benua yang bakal bersaing dalam enam kumpulan berempat untuk merebut hadiah paling berprestij muncul juara Piala Dunia kategori remaja.