MALAYSIA gagal menempah slot suku akhir Piała Dunia Hoki 2023 setelah tewas 3-4 menerusi penentuan penalti ‘shoot out’ ditangan Sepanyol pada aksi di Stadium Kalinga, Bhubaneswar sebentar tadi.
Kedua-dua pasukan terikat seri 2-2 selepas 60 minit perlawanan sebelum pemenang terpaksa ditentukan menerusi penali ‘shoot out’.
Terdahulu barisan pemain Malaysia jelas mempamerkan disiplin tinggi ketika menyerap tekanan hebat diberikan oleh Sepanyol khususnya pada 15 minit pertama untuk memastikan kedudukan seri tanpa jaringan.
Penjaga gol skuad negara, Muhammad Hafizuddin Othman dilihat mempamerkan aksi cemerlang apabila berjaya menghalang gawangnya daripada dibolosi pada suku pertama dan kedua.
Memasuki suku ketiga, Sepanyol meneruskan penguasaan permainan dan mendapat peluang jaringan menerusi situasi pukulan sudut penalti pada minit ke-33 tetapi Hafizuddin sekali lagi menggagalkan pukulan Miralles.
Ketika Sepanyol dilihat lebih banyak mengasak dan mengaturkan serangan, Malaysia akhirnya berjaya memecahkan kebuntuan jaringan menerusi Faizal Saari pada minit ke-35 untuk menewaskan penjaga gawang Sepanyol, Adrian Rafi.
Sepanyol berjaya mengimbangi keputusan menerusi Miralles yang tidak berdepan masalah untuk menyempurnakan pukulan penalti strok slang enam minit kemudian.
Kelincahan pemain Sepanyol, Pere Amat nyata memberi kesan apabila umpanan cantiknya tepat kepada Xavier Gispert untuk menolak masuk gol kedua hanya berselang seminit kemudian.
Sebaik sahaja suku keempat bermula, Malaysia berjaya menyamakan kedudukan menerusi Amirul Hamizan Azahar namun jaringan tersebut dibatalkan setelah rujukan video menunjukkan bola terlebih dahulu terkena ‘back stick’ Faizal Saari.
Pembatalan jaringan tersebut tidak mematahkan semangat skuad negara yang akhirnya memperolehi gol penyamaan menerusi Shello Silverius pada minit ke-49.
Kegagalan Marhan Jalil dan Shello serta peluang kedua Firhan untuk menyempurnakan penalti ini menyaksikan skuad negara terpaksa melupakan hasrat ke suku akhir.
Kekalahan ini menyaksikan Malaysia akan kembali ke Rourkela untuk berdepan Afrika Selatan bagi perlawanan penentuan tempat ke-9/16.