SKUAD sepak takraw negara mara ke separuh akhir regu, Kejohanan Piala Dunia ISTAF, selepas mencapai dua kemenangan dalam kumpulan H, di Daejon City, Korea Selatan, hari ini.

Skuad kendalian Azhar Sarbini itu menepati ramalan ke peringkat separuh akhir selepas skuad dibarisi tekong berpengalaman Syahir Rosdi, bersama apit kiri Amirul Zazwan dan perejam, Azlan Alias.

Trio itu tidak menghadapi masalah menewaskan Jepun dengan keputusan 2-0 (21-8, 21-9) dalam perlawanan pertama kumpulan.

Rentak cemerlang mereka diteruskan petang tadi, apabila mudah mengatasi India dengan kemenangan 2-0 (21-5, 21-12) untuk mengesahkan tiket ke separuh akhir, esok.

Regu negara tewaskan Jepun dan India 2-0.

“Tujuan saya bermula dengan Syahir sebagai tekong, mahu dia membiasakan di pentas kejohanan kerana sudah lama tidak beraksi di pentas antarabangsa. Biar dia cari rentak sebelum mengharungi perlawanan penting selepas ini.

“Tugas amat getir buat anak buah saya kerana kita akan bertemu Korea Selatan di separuh akhir. Mereka sudah dua kali menewaskan kita, terbaru di Piala Raja Thai bulan lalu, jadi saya minta anak buah saya melupakan insiden itu dan terus berikan yang terbaik dalam gelanggang berdepan tuan rumah esok,” kata Azhar

Nasib berbeza menimpa regu wanita negara yang dibarisi Razmah Anam, Siti Norzubaidah Abd Wahab, Natasha Amyra Fazil, Fatihah Sharudin serta Nadillatul Rosmahani apabila tersingkir selepas menerima kekalahan kedua di tangan Vietnam dengan keputusan 2-0 (14-21, 13-21).

Semalam, mereka dikejutkan dengan kekalahan kepada Jepun dengan keputusan 2-1 (18-21, 21-13, 12-21) dalam aksi pertama kumpulan.

Bagaimanapun mereka berpeluang untuk menebus kehampaan ini apabila masih  mempunyai satu lagi acara iaitu kuadran (empat sepasukan) pada esok dan bakal bertemu India dan Vietnam.