PASUKAN hoki veteran Malaysia dalam kategori umur 40 tahun kini berada dalam persiapan akhir menjelang Piala Dunia Masters 2024 di Cape Town, Afrika Selatan minggu ini.
Ketua pasukan, Jiwa Mohan, meluahkan keyakinan terhadap pasukan yang dilihat lebih bersedia berbanding edisi sebelumnya.
Menurutnya, keserasian antara pemain berada pada tahap terbaik, dan skuad kali ini dijangka mampu memberi saingan sengit di kejohanan tersebut.
“Kami lebih mantap berbanding dua tahun lalu. Keserasian pasukan sangat baik, dan saya yakin kami mampu melangkah jauh,” kata Jiwa ketika ditemui pada sesi latihan terakhir pasukan pada Selasa.
Malaysia akan bersaing dalam Kumpulan B bersama Jerman, Kenya, dan Singapura.
“Kami fokus untuk layak ke suku akhir dahulu. Selepas itu, barulah kita akan lihat siapa lawan seterusnya,
“Jerman antara yang terbaik, tetapi kita juga mampu memberi saingan. Struktur permainan dan taktik pasukan sudah dianalisis, dan kami telah bersiap sedia untuk menyesuaikan strategi berdasarkan kekuatan lawan,” jelas Jiwa.
Dalam pada itu, Jiwa turut menekankan kepentingan mengelakkan kecederaan kerana dalam kategori Masters, pemain veteran lebih terdedah kepada kecederaan.
“Persiapan pasukan telah berjalan selama setahun, dengan latihan diadakan tiga hingga empat kali sebulan, disebabkan kebanyakan pemain masih bekerja.
“Namun, latihan intensif ini telah membantu meningkatkan stamina dan kecergasan pemain yang kini berada dalam keadaan fizikal terbaik menjelang kejohanan,” tambahnya.
Selain pasukan 40-an, Malaysia turut menghantar pasukan dalam kategori 65 tahun untuk kejohanan di Cape Town, manakala 4 lagi pasukan akan bertanding di Auckland pada bulan November nanti.
Pada sesi latihan tersebut, Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh turut hadir memberi sokongan sebelum pasukan berangkat ke Cape Town pada Khamis ini.