MALAYSIA tidak berdepan banyak masalah mencipta kemenangan 4-1 ke atas Mesir dalam aksi klasifikasi kesembilan hingga ke-16 Kejohanan Hoki Piala Dunia Remaja Lelaki 2023 di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil.
Kemenangan itu membolehkan misi baharu The Young Tigers untuk menamatkan saingan di kedudukan kesembilan semakin hampir meskipun terlepas peluang berpesta gol apabila hanya mampu menyempurnakan tiga pukulan sudut penalti daripada 16 yang diperoleh.
Skuad muda negara kendalian Muhamad Amin Rahim itu membuka tirai jaringan menerusi gol padang Harris Iskandar Osman seawal minit kelapan yang membangkitkan selera Young Tigers untuk menambah jaringan, namun beberapa percubaan yang diperoleh gagal disudahkan dengan baik sehingga tamat suku pertama.
Sebaik suku kedua bermula, Malaysia terus mengasak kubu pasukan dari benua Afrika itu, sebelum Faris Hafizan menyudahkan pukulan sudut penalti pada minit ke-16.
Malaysia terus selesa berada di depan apabila Muhammad Danish Aiman berjaya meledak gol ketiga, juga menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-44.
Lima minit berselang, Malaysia terus menggempur gawang Mesir, kali ini hasil pukulan sudut penalti yang disudahkan Che Nur Aqilrullah namun ketika Malaysia ligat memburu jaringan tambahan, Mesir mengejutkan kem negara apabila Abdelmonem Basel menyumbat gol seminit sebelum perlawanan berakhir.
Amin Rahim yang ditemui selepas perlawanan mengakui tidak berpuas hati dengan aksi yang ditunjukkan para pemainnya kerana tidak mempamerkan aksi sebenar meskipun mencipta kemenangan.
“Kemenangan ini penting tetapi dari segi permainan, saya tidak berpuas hati kerana pemain tidak menunjukkan tahap sebenar,” katanya.
Dalam aksi klasifikasi kesembilan hingga ke-12 pada Rabu ini, Malaysia dijadualkan menentang pemenang antara Belgium dan Kanada.