JUARA bertahan, Argentina bergelut mencari rentak pada perlawanan pertama, sebelum melakar kemenangan tipis 1-0 ke atas Australia dalam aksi Kumpulan A hoki Piala Dunia Remaja.
Dalam aksi di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil itu, Argentina tampil dengan misi mempertahankan kejuaraan dimenangi dua tahun lalu di Bhubaneswar, India, terpaksa menunggu sehingga minit akhir permainan bagi menembusi kubu pertahanan Australia.
Pemain tengah, Ignacio Nardilillo muncul wira Argentina apabila meledak gol kemenangan pasukan itu pada minit ke-58 menerusi gol padang.
“Ia adalah perlawanan yang sukar… menentang Australia tetapi kami memang sudah menjangkannya.
“Saya gembira dapat menjaringkan gol kemenangan buat pasukan namun ini adalah hasil kerja keras kami secara berpasukan, ini adalah kemenangan untuk pasukan,” kata Nardilillo selepas tamat perlawanan.
Argentina muncul juara di Bhubaneswar selepas menewaskan Jerman 4-2 pada aksi final untuk merekodkan kejuaraan kedua mereka selepas kali pertama pada 2005 di Rotterdam, Belanda.
Skuad bimbingan Juan Ignacio Gilardi itu seterusnya akan berdepan Malaysia pada aksi kedua kumpulan, malam esok.
Nardilillo menjangkakan pasukan itu sekali lagi berdepan kesukaran menentang Malaysia apatah lagi lawan beraksi di laman sendiri.
“Saya jangkakan ia akan menjadi satu lagi perlawanan yang sukar untuk kami. Kami tidak boleh memandang rendah kemampuan Malaysia.
“Kami perlu terus kekal fokus dan buat persiapan terbaik bagi mengharungi perlawanan itu untuk cuba mencatat kemenangan kedua,” katanya.