NORAIZAT Nordin berkongsi bahawa dia bersama gandingannya, Aidil Aiman Nawawi kembali mencari ketenangan sebelum mula perlawanan rubber set suku akhir, dan itu menjadikan skuad regu (double) akhirnya dapat melayakkan diri ke aksi separuh akhir Piala Dunia Sepak Takraw 2024.
Malaysia mendahului set pertama, 15-11 sekali gus memberi kelegaan sebelum Korea Selatan membuat negara kembali resah dalam perlawanan set kedua.
Noraizat dan gandingannya bagaimanapun segera memperbaiki dan mengurangkan kesilapan, untuk kembali mendapatkan momentum pada perlawanan rubber set yang memadam harapan Korea untuk melangkah ke separuh akhir.
“Untuk kami, masih ada kesilapan kecil itu ada lagi. Kami kena kurangkanlah kesilapan yang kecil itu sebenarnya kerana ia akan membuat mata jadi rapat dan akan jadi susah dapat point sebab kesilapan yang tidak patut kita lakukan.
“Alhadulillah kami menang perlawanan ini dan untuk perlawanan tadi (suku akhir menentang Korea Selatan) saya rasa kedua-dua pasukan sama-sama boleh bermain. Semua Negara adalah yang terbaik di sini dan tak ada yang tak boleh main, semua yang terbaik,” katanya ketika ditemui selepas tamat perlawanan di Stadium Titiwangsa.
Terdahulu, beregu negara itu menewaskan pasangan Korea Selatan 15-11, 15-17 dan diheret ke rubber set 15-8 dalam perlawanan yang berlangsung selama 75 minit.
Misi penting buat skuad double bertemu Myanmar di pusingan separuh akhir dan Noraizat meluahkan keyakinan untuk berdepan mereka setelah pernah bertemu skuad sama di Sukan SEA Kemboja 2023 dan ia memihak kepada pasukan Malaysia.
“Kita memang yakin boleh menang ke atas Myanmar sebab sebelum ini kita pernah jumpa mereka di Sukan SEA dan menang 2-0. Kali ini sekali lagi di separuh akhir dan situasi sama seperti sebelum ini (separuh akhir) dan berharap kami akan menang lagi ke atas mereka.
“Insya Allah kami akan kekalkan kemenangan itu lagi-lagi dapat mara ke aksi separuh akhir ini,” ujarnya.