WATAK Seksan Tubthong dalam skuad beregu (double) Thailand di Piala Dunia Sepak Takraw 2024, bukanlah satu impak besar kepada Malaysia.

Ini berikutan pemain beregu yang diketuai Aidil Aiman Zawawi, mempunyai keazaman tinggi membenam kejaguhan pasangan lawan itu.

Menurut Aidil Aiman, dia dan gandinganya, Noraizat Nordin akan melakukan segala yang termampu jika bertembung dengan Thailand yang diketuai Seksan di final dan tanpa menghiraukan reputasi pemain lawan yang berumur 38 tahun.

“Bagi saya, penampilan Seksan bersama skuad double Thailand tidak menimbulkan masalah terutamanya bagi melawan Seksan. Kami akan cuba pamerkan apa juga kekuatan yang ada di gelanggang nanti,” kata Aidil Aiman.

Rejaman Noraizat Nordin antara yang digeruni di Piala Dunia Sepaktakraw Istaf 2024.

Sebelum ini, Seksan dilantik sebagai perunding khas yang dibawa masuk Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) untuk persiapan skuad beregu Malaysia menghadapi Piala Dunia Sepak Takraw.

Bagaimanapun, selepas tidak sampai tempoh tiga bulan perkhidmatannya, Thailand membuat kejutan memanggil semula Seksan untuk berada skuad baharu Gajah Perang untuk beraksi di pentas Piala Dunia di Stadium Titiwangsa.

Untuk rekod, Aidil Aiman dan Noraizat pernah bertemu dengan Seksan bersama gandingannya, Kittiphum Sareebut pada 7 April lalu dalam saingan Princess Cup Thailand Ke-35 yang menyaksikan pemain negara itu tewas 15-8, 15-13.

Gandingan Aidil Aiman dan Noraizat Nordin perlu mendapatkan satu lagi kemenangan untuk memimpin kumpulan A dalam acara beregu.

Mengulas lanjut, Aidil Aiman berkata, gandingannya bersama Noraizat atau lebih dikenali dengan gelaran ‘Ijat Bangau’ bertambah baik kerana skuad negara melakukan persiapan rapi bagi mendepani cabaran hebat di kejohanan ini.

Ditanya pilihan sama ada mahu berdepan Indonesia atau Myanmar di peringkat separuh akhir, Aidil Aiman berkata, skuad negara lebih gemar memilih berdepan Myanmar berbanding Indonesia di peringkat empat pasukan terakhir itu.