MALAYSIA terpaksa membiarkan kemarau kekalahan berpanjangan dalam acara regu berpasukan dengan Thailand, setelah tewas 1-2 di pentas akhir Piala Dunia Sepak Takraw 2024 yang berlangsung pada Ahad.

Tidak dinafikan, aksi yang memberangsangkan telah ditonjolkan oleh skuad kendalian Ahmad Jais Baharun namun terdapat beberapa kesilapan yang dibuat sekali gus menyaksikan Thailand berjaya mencuri peluang untuk memunahkan hasrat Malaysia.

Libasan Noraizat Nordin semasa beraksi dalam Regu B untuk Malaysia di Piala Dunia Sepak Takraw 2024.

Kegagalan untuk memenangi final ini menandakan bahawa Malaysia juga gagal meraih kejayaan hatrik dalam ketiga-tiga acara yang dipertandingkan dalam kejohanan Piala Dunia Sepak Takraw 2024.

Terdahulu, Regu A yang dibarisi oleh Mohammad Syahir Mohd Rosdi (tekong), Farhan Adam (apit kiri) dan Azlan Alias (apit kanan) kecundang di set pertama 9-15 lalu kembali bangkit di set kedua dan ketiga 15-11, 15-13 sekali gus membuka laluan kemenangan buat Malaysia.

Namun, perlawanan terpaksa diheret ke set ketiga apabila Regu B, Haziq Hairul Nizam (tekong), Amirul Zazwan Amir (apit kiri) dan Noraizat Nordin (apit kanan) turut bergelut mencuri mata dan akhirnya keputusan berpihak kepada Thailand, 8-15 5-15.

Malaysia tewas 1-2 kepada Thailand.

Regu C pula melaksanakan tanggungjawab penuh untuk menamatkan permainan dengan kemenangan, namun Zarif Marican (tekong), Baihakki A’ripin (apit kiri) dan Shahalril Aiman Halim (apit kanan) gagal membantu merealisasikan mimpi peminat sepak takraw Malaysia selepas terus tewas 12-15, 12-15.

Thailand terus mendominasi arena sepak takraw dunia dan Malaysia masih perlu mengasah kepakaran para pemain untuk merampas semula gelaran juara acara regu berpasukan dunia dari skuad Gajah Perang.