DURIAN runtuh bakal menanti pemain-pemain sepak takraw apabila mereka mempamerkan aksi cemerlang dan bersungguh-sungguh, tambah lagi setelah berjaya membawa Malaysia ke final Piala Dunia Sepak Takraw 2024.
Skuad double negara yang diwakili oleh Noraizat Nordin dan Aidil Aiman Azwawi telah mengesahkan slot ke final hari ini (Rabu) setelah menundukkan Myanmar dengan keputusan 15-10, 17-15 pada saingan separuh akhir yang berlangsung di Stadium Titiwangsa pada Selasa.
Kejayaan Malaysia dilengkapi lagi dengan kemenangan regu negara, Syahir Rosdi, Farhan Adam dan Azlan Alias yang juga mengalahkan Myanmar 15-3, 15-11 dalam aksi separuh akhir yang penuh sengit semalam.
Oleh itu, Presiden Sepak Takraw Malaysia (PSM), Datuk Mohd Sumali Reduan yang ditemui berkongsi bahawa kemungkinan ada habuan yang menanti buat wira-wira sepak takraw yang telah berhempas pulas dalam keseluruhan perlawanan Piala Dunia 2024 ini.
“Insya Allah kita capai target kerana mara ke final. Malaysia sememangnya mempunyai kelebihan beraksi di laman sendiri dan di hadapan penonton-penonton.
“Saya juga sudah berjumpa dengan pemain, dan memberitahu bahawa kita tidak menjanjikan bulan bintang. Saya suruh mereka main sehabis baik dahulu, dan imbuhan itu akan datang kemudian.
“Kalau betul-betul cemerlang, Insya Allah akan ada bonus yang setimpal dengan usaha yang ditonjolkan mereka,” ujar Sumali ketika ditemui di Stadium Titiwangsa pada Selasa.
Malaysia akan membuat perhitungan sengit bersama Thailand pada pentas final Piala Dunia Sepak Takraw 2024, menyaksikan skuad double beraksi pada jam 8 malam ini, disusuli dengan regu negara jam 9.30 malam.