TERNYATA skuad double negara menyimpan rahsia dan taktikal Seksan Tubtong, dan memanfaatkannya dalam pentas akhir Piala Dunia Sepak Takraw 2024, sekali gus berhasil menjadikan Malaysia juara di hadapan penonton yang membanjiri gelanggang hari ini.
Stadium Titiwangsa menjadi saksi sejarah kemenangan yang dibawa oleh Aidil Aiman Azwawi dan Noraizat Nordin, setelah berjaya menumbangkan Thailand dalam straight set 17-16, 15-13.
Aidil Aiman yang ditemui selepas tamat perlawanan menyatakan rasa gembira yang tidak terhingga apabila dapat menumbangkan jaguh takraw dari seberang. Justeru, Aidil turut mengakui bahawa corak permainan Seksan sudah dapat dibaca lebih awal, dan memberi sedikit kelebihan buat dirinya.
Tahniah Malaysia! Jom layan aksi regu pulakk pic.twitter.com/Ssdo2boCSp
— Flash Sukan (@FlashSukan) May 22, 2024
“Saya rasa ini persembahan yang terbaik setakat ini, apatah lagi berlawan dengan Thailand. Semangat daripada keluarga dan isteri saya mengiringi saya ke sini.
“Saya juga tak rasa goyang dan tertekan ketika bermain kerana ramai penonton datang hari ini. Rasa semangat untuk main hari ini, dan saya tak tahu nak gambarkan macam mana gembiranya saya.
“Kemenangan hari ini adalah bermakna. Dan mungkin salah satu sebab juga adalah kerana Seksan pernah bermain dan menjadi jurulatih di Malaysia. Jadi kami faham serba sedikit gaya dia,”ujar Aidil.
Terdahulu, kepakaran Seksan ditagih oleh Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) bagi membantu menaikkan mutu permainan double negara untuk tempoh tiga bulan, namun khidmatnya dihentikan lebih awal selepas Thailand menyenaraikan apit kiri itu ke saingan Piala Dunia.