TEKONG Regu A, Syahir Mohd Rosdi tidak memandang rendah akan kemampuan Indonesia iaitu lawan yang akan ditemui pada aksi separuh akhir setelah berjaya menundukkan pasukan India 2-0 di saingan suku akhir Piala Dunia Sepak Takraw 2024.
Hal ini membuktikan skuad kendalian Ahmad Jais Baharun berjaya menampilkan aksi memukau di suku akhir dan mengekalkan rekod kemenangan bersih dengan keputusan 15-3,15-11 dan 15-5, 15-12.
Syahir yang ditemui selepas tamat perlawanan ternyata lega dengan persembahan 100 peratus yang membenarkan mereka layak ke pusingan separuh akhir, dan bertemu dengan skuad gergasi Indonesia pada malam Sabtu.
Namun, aksi yang berlangsung di Stadium Titiwangsa itu dijangka sengit dan Syahir percaya bahawa dia dan barisan pemain lain akan menampilkan prestasi yang lebih bersungguh-sungguh sekali gus tidak mensia-siakan perjuangan dan matlamat untuk bertemu Thailand di pentas akhir.
“Sekarang tak ada erti pemanas badan atau sebagainya, kita kena faham semua negara mahukan kemenangan. Kita sebagai tuan rumah perlu bagi 100 peratus dalam perlawanan, tidak kira berjumpa dengan negara yang kurang hebat atau lebih kuat.
“Alhamdulillah semua pemain juga kembali mendapatkan rentak permainan yang baik dan untuk ke separuh akhir ini, lawan kita Indonesia adalah satu pasukan yang kuat. Dia punya servis memang berkualiti jadi kami perlu berjaga-jaga dengan setiap yang mereka lakukan.
“Jadi untuk ke final dan bertemu dengan Thailand, kita kena lalui ini dahulu, Indonesia. Saya tahu kita tak akan menang dengan mudah tetapi kita cuba masuk ke final dan saya pasti perlawanan malam ini cukup sengit,” kata Syahir ketika ditemui di Stadium Titiwangsa.
Terdahulu, Regu A yang dibarisi oleh Mohammad Syahir Mohd Rosdi (tekong), Farhan Adam (apit kiri) dan Azlan Alias (apit kanan) membuka laluan kemenangan terhadap India sekali gus mencatatkan keputusan 15-3, 15-11.
Rentak kecemerlangan disusuli oleh Regu B, Zarif Marican (tekong), Aidil Aiman Azwawi (apit kiri) dan Shahalril Aiman Halim (apit kanan) yang mudah membolot mata 15-5, 15-12 dan terus membiarkan India berputih mata.
Sebelum itu, Malaysia terus mengekalkan momentum terbaik dengan mengalahkan Jepun dalam saingan terakhir peringkat kumpulan, 15-5, 15-7 sejurus membenarkan Malaysia mara ke aksi suku akhir Piala Dunia.