PRESIDEN Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Datuk Sumali Reduan sedar akan cabaran yang bakal diterima di pentas final hari ini untuk menewaskan Thailand namun tetap berkeyakinan tinggi terhadap kemampuan para pemain.
Harapannya untuk melihat kemenangan yang berpihak kepada Malaysia untuk mencipta satu lagi sejarah baharu dalam sukan sepak takraw di negara ini masih tertanam apabila Malaysia sah dapat melangkah ke final setelah mengalahkan Indonesia 2-0 pada Sabtu.
Penantian selama 33 tahun skuad sepak takraw yang tidak pernah menewaskan Thailand dalam acara regu berpasukan ini perlu mencari titik noktahnya dan mengambil kelebihan beraksi di gelanggang sendiri bersaksikan penonton-penonton Malaysia.
“Sasaran tepat kita mara ke final dalam tiga acara di Piala Dunia (Sepak Takraw 2024). Esok (hari ini) kita akan bertemu Thailand dan kita masih 50-50 (peluang untuk muncul juara) biarpun berjaya mengejutkan mereka dalam acara double dan regu. Kita harapkan yang terbaik dalam perlawanan akhir.
“Misi kita juga adalah untuk menamatkan penantian 33 tahun kerana kita tidak pernah tewaskan Thailand dalam acara regu berpasukan dan kita harap kita cipta sejarah itu dan ia akan hadir esok dengan prestasi terbaik pemain,” katanya ketika ditemui selepas tamat perlawanan separuh akhir pada Sabtu.
Tambahnya, mengenai habuan kepada pemain, beliau akan berbincang bersama Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh untuk menetapkan ganjaran kepada mereka yang telah bersungguh-sungguh menampilkan aksi terbaik.
“Bonus semestinya ada. Insya Allah saya akan bincang dengan menteri mengenai bonus kepada semua pemain yang telah mengharumkan nama negara di pentas dunia,” ujarnya.
Terdahulu, Malaysia tidak berdepan sebarang masalah untuk menewaskan Indonesia 2-0 bagi memburu slot ke final dan berjumpa Thailand di pentas akhir yang terlebih dahulu layak selepas menang mudah ke atas Korea Selatan 2-0 dalam peringkat separuh akhir.
Malaysia dijadualkan bertemu Thailand pada aksi yang dijangka sengit jam 3 Petang di Stadium Titiwangsa.