APIT kanan negara, Shahalril Aiman Halim mengakui masih tidak berpuas hati dengan prestasi dirinya, walaupun berjaya menambat hati penonton dengan servis terbaik, sekali gus melayakkan regu Malaysia ke aksi final Piala Dunia Sepaktakraw 2024 di Stadium Tasik Titiwangsa.

Dalam perlawanan suku akhir yang berlangsung pada Selasa, Malaysia menyaksikan permainan yang cukup baik, dan membuktikan bahawa skuad kendalian jurulatih, Ahmad Jais Baharun tidak berhadapan sebarang masalah untuk membenam Singapura, 15-8, 15-9.

Shahalril yang menjadi ‘killer’ juga mendorong persembahan terbaik regu Malaysia, namun dirinya masih melihat ada kekurangan yang perlu diperbaiki, juga belum lega dengan momentum individunya.

“Pertama sekali, Alhamdulillah, sebab rezeki Allah yang beri kepada kita semua untuk Malaysia perlawanan ini. Tapi bagi saya sendiri, untuk individu, saya tak puas hati sebab banyak lagi kekurangan saya yang perlu diperbaiki untuk separuh akhir nanti.

“Nak kata dapat momentum pun belum sebab tengok dalam perlawanan Singapura lawan Malaysia ini pun saya banyak lagi perlu diperbaiki dari segi bola pertama, pukulan (lipasan), dan lambung kepada Syahir (untuk melakukan servis,” ujar pemain berusia 22 tahun itu ketika ditemubual di Stadium Titiwangsa.

Dalam perkembangan sama, pemain kelahiran Kedah itu juga meluahkan bahawa dirinya sudah bersedia sekiranya jurulatih menurunkan dia sebagai pemain utama dalam perlawanan separuh akhir malam ini.

Terdahulu, regu Malaysia mengesahkan tempat ke separuh akhir selepas mengatasi Singapura 15-8, 15-9.

Regu negara dibarisi Shahahril selaku apit kanan, Syahir Rosdi (tekong), Farhan Adam (apit kiri) dan Mohamad Azlan Aliaa (apit kanan).