AIDIL Aiman Azwawi, bagaikan berjuang dalam dua peperangan, berdepan Brunei dan menahan kesakitan gastrik, namun masih mampu membantu pasukan menuai kemenangan kedua, acara beregu (double) dalam aksi kumpulan A, Piala Dunia Sepaktakraw Istaf 2024, di Stadium Titiwangsa.
Aidil Aiman yang bergandingan dengan Nuraizat Nordin, kelihatan kurang bermaya dan bersemangat ketika berdepan Muhammad Azri Awang Abdul Harith-Mohamad Efiezul Haqim Murah (Brunei).
Menurut Noraizat, Aidil bermain dalam menahan sakit selepas mengalami gastrik sejak semalam.
“Aidil sebenarnya tidak sihat akibat gastrik, tadi dia ada makan ubat tahan sakit.
“Dia kena main juga, kalau dia tak turun, saya perlu jadi pengumpan (beraksi bersama Baihakki A’ripin),” kata Noraizat.
Terdahulu, beregu negara itu menewaskan pasangan Brunei 15-9, 15-11 dalam masa 40 minit.
Pada pertengahan set kedua, ketua jurulatih Ahmad Jais Baharun mengeluarkan Noraizat dan memasukkan Baihakki A’ripin di posisi perejam, bagi membolehkan pemain muda negara itu mendapat aksi pemanas badan menjelang suku akhir, esok.
Berdepan Korea Selatan di suku akhir, Noraizat membayangkan mereka tidak boleh melakukan kesilapan.
“Paling utama, kawal diri dan kurangkan rasa gemuruh. Tidak boleh bazirkan mata servis dan lebih kemas ketika bertahan,” kata Noraizat lagi.
Jika mengatasi Korea Selatan, beregu negara akan beraksi sekali lagi pada jam 6.30 petang untuk aksi separuh akhir.