MENTALITI positif dan kuat yang dimiliki oleh pemain double negara berjaya menghiraukan perang psikologi yang dilakukan oleh pihak lawan, Myanmar sekali gus memastikan Malaysia mara ke pentas final Piala Dunia Sepak Takraw 2024.

Dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Titiwangsa pada Selasa malam, gandingan sensasi Noraizat Nordin dan Aidil Aiman Azwawi telah menonjolkan aksi cemerlang dan penuh mendebarkan yang membawa kepada kemenangan straight set 15-10, 17-16 kepada Myanmar.

Menurut Noraizat, walaupun menerima ancaman hebat dari segi serangan psikologi oleh pihak lawan, namun ianya tidak memberi sebarang kesan negatif kepada dirinya.

Malah, dia hanya kekal fokus untuk memberikan permainan yang baik dan membawa double Malaysia ke aksi final Piala Dunia Sepak Takraw 2024 yang akan berlangsung esok (Rabu).

Double Malaysia bertemu Thailand di pentas akhir pada Rabu

“Saya beritahu Aidil supaya jangan melayan dan mengikut rentak lawan. Kita hanya fokus kepada permainan kita dan Alhamdulillah kami dapat menghasilkan kemenangan malam ini.

“Saya sendiri tak tahu nak cakap apa, itu rezeki yang sudah tertulis. Buat apa jua pun, tetap rezeki kita. Alhamdulillah, syukur,” ujarnya selepas ditemui selepas tamat aksi separuh akhir.

Pada perlawanan akhir esok, Malaysia akan berdepan dengan satu cabaran besar iaitu dijadualkan menentang pasukan ‘top’ sepak takraw, Thailand selepas mereka mengesahkan tempat ke final dengan menumpaskan Indonesia pada aksi separuh akhir tadi.