MENJELANG saingan Piala Dunia Sepak Takraw 2024, empat pemain negara dalam radar bahaya untuk disingkirkan selepas Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) akan menyenaraikan senarai akhir 12 pemain menggalas cabaran negara pada kejohanan yang akan berlangsung di Stadium Titiwangsa, bulan depan.

Ketua jurulatih skuad sepak takraw negara, Ahmad Jais Baharun berkata, pemilihan terakhir pemain akan diputuskan PSM sendiri pada perlawanan ujian selama tiga hari bermula hari ini hingga Ahad.

“Esok petang kita akan ada perlawanan ujian untuk memilih barisan pemain yang akan menggalas cabaran ke Piala Dunia nanti.

Ahmad Jais Baharun bakal menyingkir empat lagi pemain menjelang Piala Dunia Sepak Takraw Istaf 2024.

“Bermula sesi petang hari ini (Jumaat), Sabtu dan Ahad, pasukan lelaki akan menjalani perlawanan menentang pemain dari Universiti Pathum Thani yang dibarisi regu Tentera Laut Diraja Thailand.

“Jadi, menerusi perlawanan ujian ini kita akan menyenaraikan 12 pemain sahaja daripada 16 pemain terpilih sebelum ini. Sekiranya berlaku kecederaan, akan buat pertukaran dalam 16 pemain berkenaan,” tambahnya

Ketika ditanya mengenai undian yang dilakukan petang kelmarin, Ahmad Jais meletakkan harapan cukup tinggi agar mereka mampu berdepan Thailand di pentas final.

“Bagi saya undian semalam berlangsung positif dan perancangan kita adalah untuk mengatasi Thailand di pentas final.

Undian Piala Dunia Sepak Takraw 2024.

“Apapun, kita tidak boleh memandang mudah cabaran pasukan lain terutama acara berpasukan dan double. Saya lihat Thailand, Myanmar dan juga Indonesia mempamerkan aksi konsisten dalam acara itu.

“Saya harap dengan persiapan di Thailand sebelum ini dapat memberi kelebihan kepada pemain negara  untuk tampil cemerlang di Piala Dunia nanti,” katanya.

Menjelang Piala Dunia Sepak Takraw 2024 yang dijadual berlangsung dari 18 hingga 26 Mei depan, skuad negara memilih untuk berada dalam Kumpulan A bersama-sama Jepun serta Brunei dan kedua-dua pasukan itu turut bakal ditemui Malaysia dalam acara berpasukan di Kumpulan C.

Dalam acara regu pula, Malaysia yang muncul naib juara pada Piala Dunia 2022 di Korea Selatan, diletakkan selaku pasukan pilihan dalam Kumpulan B bersama-sama China serta Brunei.