KAPTEN pasukan sepak takraw negara, Farhan Adam menjelaskan mengapa dirinya memilih untuk memakai kasut berjenama Vans berbanding kasut lain yang lebih bersesuaian dan menjadi pilihan pemain-pemain lain.

Ia menjadi satu perkara luar biasa dan menarik perhatian peminat untuk mengetahui kisah lanjut tentang pemain berusia 35 tahun yang kelihatan selesa dan terus mengekalkan gaya pemakaian kasut Vans di gelanggang sepak takraw.

Menurut Farhan yang sudah 17 tahun berkecimpung di arena sepak takraw, pemakaian kasut berjenama Vans itu telah membuatkan dirinya seolah-olah memberi hadiah bermakna kepada kaki yang telah banyak berjasa dan memberi rezeki kemenangan untuknya.

ISTAF SEPAKTAKRAW WORLD CUP KUALA LUMPUR

“Sebenarnya, ada salah seorang bekas pemain yang memberi idea kepada saya unduk tukar kasut kepada kasut berjenama Vans. Jadi saya terus cuba untuk menghadam kesesuaian dengan pemakain ini.

“Pada mulanya memang agak tidak selesa, tetapi lama-kelamaan bila saya sudah biasa dengan Vans, ia sudah menjadi seperti ‘trademark’ saya dan kaki saya sesuai dengannya.

“Saya sudah pakai Vans hampir dua tahun dan kaki ini juga sudah memberikan banyak rezeki dan tidak berhenti membantu saya. Jadi, saya fikir, saya nak bagi dia (kaki) hadiah yang luar biasa,” kata Farhan ketika ditemui di Stadium Titiwangsa pada Sabtu.

Farhan mengenakan kasut berjenama Vans di Piala Dunia Sepak Takraw.

Dalam masa yang sama, Farhan turut meluahkan rasa bersyukur sekiranya pihak Vans ingin mengangkatya sebagai duta atau mahu menjalin kerjasama dengannya.

“Saya teruja dan bersyukur sekiranya perkara itu menjadi realiti. Kerana awalnya saya tidak ada niat untuk mempromosikan Vans, kerana saya tahu ramai yang pakai Warrior, Nike, Adidas dan kasut berjenama lain. Jadi saya buat kelainan.

“Kalau Vans mahu bagi peluang demikian kepada saya, saya terima dengan rela hati dan luas tapak tangan saya menerimanya,”tambahnya.