AMIRUL Zazwan Amir jelas meletakkan kepercayaan 100 peratus terhadap jurulatihnya, Ahmad Jais Baharun untuk berdepan dengan Thailand pada final Piala Dunia Sepak Takraw 2024 yang akan berlangsung esok (Ahad).

Kemenangan yang bersaksikan ribuan mata memandang di Stadium Titiwangsa telah memberi aura positif kepada Malaysia untuk memunahkan harapan Indonesia bertemu Thailand di pentas akhir, dan mencatatkan keputusan 2-0 di peringkat separuh akhir pada Sabtu.

Amirul yang diturunkan sebagai apit kiri dalam Regu A telah melihatkan bahawa terdapat perubahan dalam taktikal jurulatih kerana sebelum ini, Amirul mewakili Regu C. Percaturan yang dibawakan oleh jurulatihnya itu digalas dengan penuh baik dan cemerlang apabila memacu kemenangan sekali gus mengalahkan Indonesia dalam aksi sebentar tadi.

Malaysia mara ke final selepas tundukkan Indonesia 2-0.

“Kita kena yakin yang kita dapat tampilkan aksi terbaik kerana kita di ‘rumah’ kita. Kita kena tunjukkan yang kita terbaik dan nak atau taknak, kita tetap bersedia mahukan kemenangan yang ketiga.

“Kita semua mahu kembalikan sejarah di Kuala Lumpur 2024 ini. Dan saya juga percaya kepada taktikal dan kemahuan jurulatih. Dia tahu kemampuan pemain-pemain kita dan kami percaya satu sama lain.

“Saya sebagai pemain akan sentiasa memberi sepenuhnya dan yakin bahawa kita akan buat yang terbaik menentang Thailand, esok,” ujarnya ketika ditemui selepas tamat perlawanan.

Malaysia diambang kejayaan untuk menamatkan kemarau kekalahan selama 33 tahun dalam acara berpasukan bersama jaguh sepak takraw terkenal dunia, Thailand. Selangkah sahaja lagi untuk Malaysia membuktikan kehebatan mereka dengan mengalahkan Gajah Perang itu di pentas final pada Ahad.

Keputusan yang menamatkan perlawanan separuh akhir Malaysia menentang Indonesia.

Terdahulu, Regu A yang dibarisi oleh Haziq Hairul Nizam (tekong), Amirul Zazwan Amir (apit kiri) dan Noraizat Nordin (apit kanan) berjaya menghadiahkan mata pertama kepada Malaysia setelah menundukkan Indonesia 15-12, 15,9.

Set kedua yang menampilkan skuad utama negara iaitu Mohammad Syahir Mohd Rosdi (tekong), Farhan Adam (apit kiri) dan Azlan Alias (apit kanan) pula dengan mudah mencantikkan lagi keputusan apabila tidak berdepan sebarang masalah untuk terus membiarkan Indonesia tersungkur, 15-9, 15-7.

Perlawanan yang berlangsung selama 100 minit itu telah memberi kemenangan berganda buat Malaysia sekali gus menjadikan sepak takraw negara semakin hampir untuk meraih kemenangan hatrik dalam ketiga-tiga acara Piala Dunia Sepak Takraw 2024.