MALAYSIA mampu melakar kejutan dengan meraih kejuaraan di Piala Dunia Sepak Takraw Istaf 2024, yang akan berlangsung Mei depan.
Kapten pasukan sepak takraw negara, Farhan Adam berkata, meskipun ada takanan ke atas pemain negara kerana bakal beraksi di gelanggang sendiri, iaitu di Stadium Titiwangsa, alasan beraksi di laman sendiri juga boleh mengubah semangat pemain.
Malah katanya, gabungan pasukan yang dibentuk kali ini juga menarik kerana dibarisi barisan berpengalaman dan pemain muda yang sangat bagus.
“Dalam pasukan sememangnya ada pemain senior dan junior, tetapi dalam skuad kali ini saya tidak melihat jurang itu.
“Tiada yang melabelkan siapa pemain senior mahupun junior, tiada gelaran pemain lama dan baharu.
“Semuanya sama dalam pasukan negaraa kerana matlamat yang mahu dicapai adalah sama, itu yang paling penting,” kata Farhan, ketika ditemui pada sesi latihan di Gimnasium 2, Majlis Sukan Negara (MSN).
Ujarnya, di sebalik tekanan yang mungkin membebani pemain, beraksi di laman sendiri membawa lebih banyak kelebihan: “Namun kami sebagai pemain perlu menyerap tekanan ketika beraksi.”
Farhan akan beraksi dalam acara antara regu bersama Mohammad Syahir Mohd Rosdi dan Mohamad Azlan Alias, selain acara berpasukan.
Kempen Piala Dunia Sepak Takraw Istaf 2024, akan berlangsung pada 18 hingga 26 Mei depan, mempertandingkan acara double, regu dan berpasukan lelaki serta wanita.
Kejohanan ini juga buat julungkalinya menyaksikan acara berpasukan merebut trofi Piala Pusingan dan membabitkan sistem satu servis.