PASUKAN Sepak Takraw Malaysia meneruskan momentum kemenangan mereka dalam saingan Piala Dunia Sepak Takraw 2024 apabila berjaya membenamkan cabaran Brunei dalam aksi pertama kumpulan C regu berpasukan.
Kurang daripada 24 jam lalu, Malaysia berjaya menjadi juara dunia Sepak Takraw bagi kategori regu dan doubles selepas menewaskan Thailand dalam kategori itu.
Skuad sepak takraw Malaysia tidak kelihatan seperti diulit mimpi oleh kejayaan semalam melihat kepada kemenangan bersih 3-0 dicatat keatas Brunei.
Ketua jurulatih negara, Ahmad Jais Baharun merehatkan pemain seperti Muhammad Noraizat Nordin, Aidil Aiman Zawawi dan Mohammad Syahir Rosdi manakala Farhan Adam dan Azlan Alias pula bermain dalam regu ketiga selepas kesemuanya bermain dalam perlawanan akhir semalam.
Regu pertama yang diketuai oleh Amirul Zazwan menang dengan keputusan 15-11, 15-7 untuk meletakkan Malaysia di hadapan.
Regu kedua dan ketiga pula tidak berdepan masalah apabila berjaya memperoleh mata, sekali gus mencatat keputusan bersih buat skuad negara. Regu kedua memenangi perlawanan dengan keputusan 15-7, 15-9 manakala regu ketiga pula menang 15-6, 15-5.
Menurut pemain apit kanan negara, Shahalril Aiman Halim berkata perlawanan menentang Brunei bukannya satu perlawanan yang mudah meskipun Malaysia mencatat kemenangan bersih.
“Bagi saya, coach dah turunkan semua pemain untuk merasai sendiri perlawanan kejohanan antarabangsa untuk perlawanan pertama regu berkumpulan.
“Semua pemain sudah dipesan oleh presiden PSM (Persatuan Sepaktakraw Malaysia) agar jangan terlalu leka dengan perlawanan semalam sebab kami masih ada sasaran lagi untuk menjadi juara bagi kategori regu berpasukan,” kata pemain berusia 22 tahun itu.
Malaysia akan bertemu Jepun pada aksi terakhir kumpulan C esok jam 8 malam untuk membuka peluang mereka untuk bermain di peringkat kalah mati.