TEKONG berpengalaman negara, Muhammad Syahir Rosdi mengakui berdepan tekanan tinggi untuk menyempurnakan servis terutamanya ketika kedudukan mata yang rapat ketika berdepan Brunei, pada aksi regu Piala Dunia Sepaktakraw Istaf 2024 di Stadium Tasik Titiwangsa.
Menurutnya sistem sekali servis ini memerlukan tekong mempamerkan aksi sempurna dan konsisten, namun apa yang berlaku pada perlawanan menentang Brunei, langsung tidak menjejas fokusnya untuk memastikan kemenangan kedua berturut-turut dalam aksi kumpulan B.
“Dengan servis tunggal, semua negara ada peluang, siapa yang leka memang akan rasa benda tu (tekanan),” kata Syahir.
Terdahulu, regu Malaysia mengesahkan tempat ke suku akhir selepas mengatasi Brunei 15-7, 15-7 dalam masa 43 minit.
Regu negara dibarisi Syahir selaku tekong, Farhan Adam (apit kiri) dan Azlan Alias (apit kanan) ternyata sukar untuk digugat Brunei yang diwakili Hafizuddin Jamaluddin, Aliffuddin Jamaluddin dan Zatie Hidayat Saidi.
Ketua jurulatih negara, Ahmad Jais Baharun turut mencuba pelbagai kombinasi dengan mengeluarkan Azlan dan Syahir pada set kedua bagi memberi peluang kepada Shahalril Aiman Halim dan Haziq Hairul Nizam beraksi.
“Bagi saya, semua pemain belum mempamerkan aksi maksimum lagi, masing-masing masih mencari rentak untuk berikan yang terbaik. Jadi saya harap kami akan beraksi dengan lebih baik selepas ini khususnya di final.
“Dalam dua perlawanan, secara keseluruhan permainan kami meningkat tetapi bukan secara mendadak.”
Pada perlawanan pertama semalam, regu negara menumpaskan China 15-6, 15-7 dan dua kemenangan itu menyaksikan skuad regu negara akan berdepan naib juara Kumpulan C yang dianggotai Korea Selatan, Filipina dan Singapura di suku akhir pada Selasa ini.