SKUAD regu negara tidak goyah bertemu dengan Thailand pada aksi final Piala Dunia Sepak Takraw yang berlangsung pada Rabu.

Malaysia yang menundukkan Myanmar dengan mudah pada saingan separuh akhir pada Selasa telah membenarkan regu sensasi itu melangkah ke aksi final, sekali gus menyaksikan Thailand sebagai pencabar utama skuad negara.

Keputusan cemerlang dalam straight set 15-3, 15-11 menentang Myanmar itu telah cukup membuktikan kata-kata Mohamad Azlan Alias yang nyata tidak cemas untuk bertemu dengan jaguh regu Thailand, pada Rabu.

ISTAF SEPAKTAKRAW WORLD CUP KUALA LUMPUR 

“Perlawanan esok sangat penting untuk kekalkan semangat pasukan. Saya tidak takut untuk berjumpa Thailand kerana saya percaya akan rezeki. Kalau benar ada rezeki untuk Malaysia esok, menang lah esok.

“Kekecewaan lepas ketika bertemu Thailand memang kita sudah lupakan, jadi kita harap Piala Dunia ini ada keajaiban buat kami. InsyaAllah kami akan buat yang lebih daripada apa yang penonton mahukan.

“Tambah pula, ‘mindset’ esok hanya untuk menang dan tiada tekanan yang perlu dirasasi. Jadi perlawanan esok pasti akan jadi lebih baik,” kata Azlan ketika ditemui selepas tamat perlawanan separuh akhir.

Malaysia double dan regu berjaya mara ke final.

Dalam masa yang sama, Ketua jurulatih, Ahmad Jais Baharun menegaskan supaya pemainnya tidak terlalu memandang tinggi terhadap barisan pemain Thailand yang akan diturunkan esok.

“Kita mahu membuat suatu kejutan pada perlawanan akhir esok, dan saya rasa kita tidak ada masalah untuk beri saingan kepada Thailand. Cuma kita perlu perbaiki beberapa lagi elemen seperti pertahanan yang menjadi perkara penting dalam takraw.

“Jadi, apabila mereka memperkemaskan semuanya, saya yakin kita mampu bagi saingan untuk tundukkan Thailand, InsyaAllah,” tambah jurulatih.