BELUM bermula saingan Piala Dunia Sepaktakraw Istaf 2024, perseteruan Malaysia-Thailand sudah cukup hangat apabila Sensak Tubtong yang dilantik Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) sebagai perunding pada Februauri lalu, akan berada di Kuala Lumpur sebagai salah seorang daripada skuad 12 pemain Thailand, pada 18 hingga 26 April ini.
Kepakaran Seksan ditagih PSM bagi membantu menaikkan mutu permainan beregu (double) negara, untuk tempoh tiga bulan, namun khidmatnya dihentikan lebih awal selepas Thailand menyenaraikan apit kiri itu ke saingan Piala Dunia.
Meskipun Thailand dilihan cuba ‘main kotor’ menyusup pengintip ke dalam skuad negara sebelum ini, kapten pasukan sepak takraw kebangsaan, Farhan Adam tidak menganggap senario itu sebagai satu tekanan.
“Tidak.. ia bukan satu tekanan kepada kami kerana dia (Seksan) bukannya bersama pasukan kita sepenuh masa, bukan setiap hari.
“Sebenarnya, ada pemain lain yang lebih baik dari Seksan kerana kami pernah bertemu pemain yang lebih baik daripadanya. Kehadiran dia dalam Thailand… kami akan atasi,” kata Farhan, menjelang sepak mula Sabtu ini.
Malaysia akan beraksi pada hari pertama pada Sabtu dalam acara regu menentang China dalam kumpulan B, manakala Thailand berada dalam kumpulan A akan menentang Vietnam.
Mengulas lanjut, Farhan berkata, undian awal menyaksikan skuad negara berjaya mengelak Thailand, membuka jalan buat Malaysia mencatat kejayaan besar kali ini.
Artikel Berkaitan:
Piala Dunia Sepak Takraw: Sumali cabar pemain buru kejuaraan
Farhan ada misi tersendiri sebelum bersara
“Masa tepat untuk Malaysia juara Piala Dunia” – Azlan Mubin
Daripada tiga acara iaitu beregu, regu dan berpasukan, Farhan berkata, dia amat mengidam menjuarai acara berpasukan terutamanya selepas PSM menaja dan memperkenal trofi pusingan buat kali pertama.
“Kita bermain di laman sendiri, kita tuan rumah dan kami sebagai pemain tidak mahu menghampakan penyokong yang menyaksikan perlawanan.
“Skuad kali ini dibarisi muka-muka baharu yang mana kami sebagai pemain senior amat perlukan mereka.
“Kualiti kami dengan yang baharu tidak jauh berbeza melainkan pengalaman ,” katanya.
Pada 25 April lalu, Thailand mengumumkan 12 pemain yang akan menggalas cabaran di Kuala Lumpur dan pasukan itu akan tiba di Kuala Lumpur hari ini.
Malaysia berada dalam kumpulan B bersama China dan Brunei bagi acara regu, manakala dalam acara beregu, wakil negara berada dalam kumpulan A bersama Brunei dan Jepun.
Acara beregu dan regu akan bermula serentak pada Sabtu ini manakala acara berpasukan pula hanya bermula selepas berakhir dua acara itu.
Sementara dalam acara berpasukan, Malaysia berada dalam kumpulan C bersama Brunei dan Jepun, ketika Thailand berada dalam kumpulan B bersama China dan India.
Untuk rekod, penganjuran Piala Dunia 2024 adalah yang pertama menawarkan trofi Piala Dunia sebagai Piala Pusingan bagi acara berpasukan dan kejohanan ini juga akan memperkenalkan sistem 15 mata dengan satu servis.
Setiap pasukan yang bertanding dalam acara berpasukan akan diberi mata ranking buat kali pertama pada edisi tahun ini.