MALAM indah di Stadium Titiwangsa, apabila Malaysia mencipta kemenangan berganda dengan penampilan terbaik oleh barisan regu negara di final Piala Dunia Sepak Takraw 2024.
Kejayaan itu telah membuktikan Malaysia beraksi dengan penuh cemerlang dan bersungguh-sungguh untuk memastikan lawannya, Thailand terduduk melihat keputusan 15-18, 15-12 yang berpihak kepada tuan rumah.
Farhan Adam selaku apit kiri negara menyifatkan kemenangan itu sebagai bukti bahawa pasukan Thailand adalah pasukan biasa, di mana Malaysia mampu menandingi kemampuan mereka.
“Kami datang sebagai satu pasukan, tiada yang paling senior atau paling atas. Kami hanya bermain dengar arahan jurulatih dan kami percaya pasa sesiapa sahaja yang diturunkan.
“Jadi, kemenangan ini sangat bermakna dan saya paling gembira kerana detik ini adalah benda yang susah untuk dapatkan. Setiap kali final kita kalah dengan Thailand, tetapi kali ini, kedua-dua acara kami dapat kalahkan mereka.
“Bermakna, Thailand tidaklah sehebat mana yang semua khabarkan, kerana Malaysia tetap mampu menundukkan mereka. Bantuan daripada penyokong juga penting kerana dapat beri tekanan kepada mereka,” ujarnya ketika ditemui selepas tamat perlawanan akhir pada malam Rabu.
Tiga gandingan mantap, Syahir Rosdi, Farhan Adam dan Azlan Alias dibantu juga oleh servis mantap oleh Muhammad Haziq Hairul Nizam telah membuatkan Thailand selaku jaguh sepak takraw terkenal dunia, terpaku dengan kehebatan Malaysia. Untuk rekod, kali terakhir skuad regu negara berjaya menumpaskan Thailand adalah pada tahun 2015, Kejohanan Super Serie ISTAF Melaka.
Ini merupakan sejarah manis arena sepak takraw negara setelah skuad double dan regu mencapai matlamat utama untuk merampas gelaran juara daripada Thailand, di Piala Dunia Sepak Takraw 2024.