KHIDMAT dua perunding Thailand, Poonsak Permsap dan Seksan Tubtong akan disambung sekiranya kehadiran mereka berjaya memberi kesan positif kepada skuad sepak takraw negara pada saingan Piala Dunia Mei depan.
Dua perunding yang dilantik secara kontrak jangka pendek, iaitu tiga bulan bermula 1 Februari hingga 31 Mei itu, ditugaskan khas untuk membantu ketua jurulatih negara, Ahmad Jais Baharun, bagi menghadapi saingan Piala Dunia Istaf kelima di Kuala Lumpur.
Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), Datuk Sumali Reduan berkata, saingan Piala Dunia dari 20 hingga 26 Mei itu, menjadi kayu pengukur keberkesanan Poonsak dan Seksan.
“Peranan Poonsak dan Seksan termasuk membantu meningkatkan kemahiran dan kawalan bola acara regu dan beregu termasuk skuad pelapis Malaysia B, terutama dalam pengenalan sistem kiraan baharu 15 mata (bermula 1 Februari lalu).
“Khidmat mereka secara jangka pendek atau berfasa dan kalau (pasukan kita) berjaya, kami bincang dalam Jawatankuasa Kerja dengan MSN (Majlis Sukan Negara), dan sambung,” katanya dalam sidang media selepas mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi PSM di ibu kota, semalam.
Poonsak, 52, bekas perejam yang pernah menjulang Thailand, memenangi dua pingat emas Sukan Asia Bangkok 1998 dan Busan 2002, dua pingat emas Sukan SEA Brunei 1999 dan Kuala Lumpur 2001.
Beliau juga pernah melatih kelab juara Liga Thailand 2022 dan kelab Korea Selatan.
Seksan pula pernah membantu Polis Diraja Malaysia menjuarai acara beregu Kejohanan Piala Tun Ali Kedua di Melaka, November lalu, berada dalam skuad Thailand memenangi pingat emas beregu, berpasukan Sukan SEA Singapura 2015 dan Kuala Lumpur 2017 serta Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018.
Fokus PSM ketika ini dilihat semakin serius dalam acara beregu yang dimasukkan ke dalam saingan di Piala Dunia, malah kem negara juga sedang mempersiap pasukan menghadapi Kejohanan Dunia Piala Raja Thailand yang dijangka September ini dan Kejohanan Bawah 23 Tahun di Korea Selatan.
“PSM mahu lihat kebangkitan luar biasa pemain negara dalam Piala Dunia kerana kita bermain di Malaysia di depan para penyokong sendiri. KPI (indeks prestasi utama) juga telah diberikan kepada jurulatih.
“Skuad negara perlu utamakan disiplin, kecergasan dan komitmen tanpa sesiapa pun berasa dia bintang. Tanpa ketiga-tiga perkara utama ini, jika dapati perlu tukar atau gugur, kami akan lakukannya,” katanya.
Dalam pada itu, sebanyak 12 negara mengambil bahagian Divisyen Perdana atau Elit akan beraksi dalam ketiga-tiga acara berkenaan manakala 10 lagi negara Divisyen Satu hanya bagi antara regu dan beregu yang ditentukan oleh Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (Istaf).
“PSM akan buat pelancaran rasmi piala dan logonya pada awal Mac ini (bulan puasa Ramadan). Negara-negara yang diundang akan membuat pengesahan penyertaan secara bertulis sebelum 15 Februari ini,” katanya.