SETELAH selesai peringkat kumpulan Piala Dunia Wanita Fifa 2023, pelbagai kisah kejutan dan harapan negara menjadi bahan bicara keindahan sukan ini yang bakal memasuki peringkat 16 terbaik.

Buat pertama kali dalam sejarah Piala Dunia Wanita, 32 pasukan bertanding dengan lapan negara baharu — Portugal, Ireland, Haiti, Panama, Maghribi, Zambia, Filipina dan Vietnam melakukan debut dan menambah kerancakan temasya bola sepak wanita terbesar ini.

Edisi kesembilan yang dihoskan secara bersama oleh Australia dan New Zealand juga menyaksikan hadiah kemenangan digandakan kepada $110 juta dolar Amerika berbanding $30 juta dolar Amerika sebelum ini.

Kejutan terbesar yang berlaku di peringkat kumpulan adalah juara dua kali Piala Dunia 2003 dan 2007, Jerman tersingkir awal dengan pendatang baharu, Maghribi berjaya mencuri slot ke pusingan 16 terbaik yang menyaksikan satu pesta telah berlaku di stadium dan juga di bandar-bandar seluruh Maghribi.

Kejohanan terakhir salah seorang imej Piala Dunia Wanita, Martha dari Brazil juga terhenti dengan cara yang menyakitkan apabila Brazil turut gagal melepasi peringkat kumpulan selepas hanya mampu seri dengan Jamaica yang layak ke peringkat kalah mati buat kali pertama.

Tidak cukup dengan itu, juara bertahan, Amerika Syarikat juga terpaksa berhempas pulas sebelum berjaya ke peringkat seterusnya namun kita bakal berhadapan musuh tradisi, Sweden di Melbourne pada Ahad.

Hanya Australia sebagai tuan rumah berjaya ke peringkat kalah mati manakala New Zealand terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada kejohanan ini selepas dipisahkan menerusi perbezaan jaringan dengan Norway.

Enam slot Asia yang diisi menyaksikan dua debutan dari Asia Tenggara, Filipina dan Vietnam tidak berjaya melepasi halangan kumpulan dengan Filipina berjaya meraih kemenangan pertama manakala Vietnam tewas kesemua perlawanan. Turut tersingkir adalah Korea Selatan dan China.

Nasib berbeza buat juara edisi 2011, Jepun apabila dilihat begitu garang dan tajam dengan memenangi kesemua perlawanan peringkat kumpulan dan menjaringkan 11 gol tanpa dibolosi dan kini menanti Norway di peringkat 16 terbaik di Wellington.

Peringkat kalah mati akan bermula pada Sabtu di New Zealand dan pastinya akan ada lebih kejutan dan harapan bakal disaksikan peminat bola sepak seluruh dunia.