JUARA bertahan Piala Dunia Wanita Fifa, Amerika Syarikat ditunjukkan jalan keluar dalam cara paling menyakitkan apabila tewas 5-4 menerusi sepakan penalti kepada Sweden.
Dalam aksi mendebarkan di Stadium Melbourne Rectangular, Australia itu, hasrat Amerika Syarikat untuk bergelar juara Piala Dunia tiga kali berturut-turut dihampakan oleh video bantuan pengadil (VAR).
Pengadil, Stéphanie Frappart terpaksa menggunakan VAR untuk menentukan penalti pemain Sweden, Lina Hurtig telah melepasi garisan meskipun dilihat penjaga gol Amerika, Alyssa Naeher berjaya meletakkan tangannya pada bola dan dilihat sudah menyelamatkannya pada permulaan.
Two more teams heading to the Quarter-finals! 🇳🇱🇸🇪👏#FIFAWWC | #BeyondGreatness
— FIFA Women's World Cup (@FIFAWWC) August 6, 2023
Pemain Sweden merayakan kejayaan itu dengan gembira manakala pemain Amerika menangis selepas buat pertama kali tersingkir seawal pusingan ke-16 dalam sejarah penyertaan di Piala Dunia Wanita.
Kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan selepas 120 minit permainan hingga terpaksa ditentukan menerusi penentuan penalti yang mendebarkan.
Pemain Sweden Nathalie Björn gagal menjaringkan penalti dan memberikan peluang kepada legenda Amerika, Megan Rapinoe yang dalam Piala Dunia terakhirnya untuk meletakkan USWNT dihadapan.
Rapinoe yang biasanya sentiasa menjaringkan penalti, tidak berjaya menewaskan penjaga gol Sweden untuk memberikan pasukan Nordic itu peluang untuk kembali di depan.
Rebecka Blomqvist dan Sophia Smith masing-masing gagal menyempurnakan penalti untuk kedudukan terikat 4-4 sebelum Kelley O’Hara pula menyaksikan tendangannya terkena palang untuk memberikan Hurtig peluang untuk memberikan kemenangan buat Sweden.
Dalam tiga lain aksi pusingan 16 terbaik, Sepanyol membelasah Switzerland 5-1 dengan Jepun pula membuktikan penguasaan selepas menyingkirkan Norway dengan kemenangan 3-1 manakala Belanda menewaskan Afrika Selatan 2-0.
Empat lagi aksi perlawanan pusingan 16 terbaik bakal menyaksikan England bertemu Nigeria, Australia menentang Denmark, Colombia melayan Jamaica dan Perancis berhadapan Maghribi untuk memburu tempat ke suku akhir.