SEPANYOL mencipta kejutan apabila jaringan kapten pasukan, Olga Carmona pada minit ke-89 menerbitkan suasana gempita di Stadium Eden Park, Auckland yang menyaksikan La Roja menewaskan Sweden untuk layak ke final Piala Dunia Wanita Fifa 2023.
Dalam perlawanan dramatik itu, tidak banyak peluang dilakukan kedua-dua pasukan sehingga masuk ke 10 minit terakhir perlawanan sekaligus menjadikan aksi ini antara aksi separuh akhir paling mendebarkan di Piala Dunia.
Sepanyol mendominasi permainan tetapi pertahanan Sweden yang sememangnya mantap dan teguh sepanjang kejohanan ini menyekat kemaraan Sepanyol dengan sesekali melancarkan serangan balas untuk menguji kubu Sepanyol.
Akhirnya Sepanyol berjaya mendahului pada minit ke-80 apabila pemain gantian, Salma Paralluelo menjaringkan gol namun Sweden menyamakan kedudukan pada minit ke-88 menerusi Rebecka Blomqvist yang dilihat bakal mengheret perlawanan ke masa tambahan.
Namun, Olga Carmona mempunyai idea tersendiri apabila rembatannya dari hujung petak penalti melepasi jangkauan penjaga gol sebelum terkena palang dan menerjah jaring untuk gol kemenangan di hadapan lebih 43,000 penyokong yang hadir.
Gol itu menyaksikan pemain Sepanyol meraikan kemenangan manakala pemain Sweden terduduk hiba di padang selepas tamat permainan ekoran impian mereka untuk bergelar juara dunia berakhir.
Sweden yang kini sudah dua kali berturut-turut tewas di separuh akhir Piala Dunia akan bertemu sama ada Australia atau England di perlawanan penentuan tempat ketiga dan keempat di Brisbane.
Sepanyol pula akan terbang ke Sydney menanti juga lawan yang sama untuk aksi final pertama mereka dalam sejarah Piala Dunia Wanita.