AGAK memilukan apabila jaguh wushu terkenal Malaysia, Wong Weng Son telah menyatakan niatnya untuk bersara dari arena sukan wushu ini.
Kejohanan Piala Dunia Wushu 2024 yang akan bermula pada Oktober depan di Jepun akan menjadi penampilan terakhir bagi atlet cemerlang itu sebelum dirinya menamatkan karier dalam industri sukan.
Presiden Persekutuan Wushu Malaysia (WFM), Datuk Chong Kim Fatt juga telah mengesahkan keputusan Weng Son untuk bersara daripada sukan wushu selepas temasya berprestij tersebut.
“Weng Son tetap akan memimpin pasukan negara pada kejohanan tersebut bersama dengan tujuh atlet lain yang telah layak dan memenuhi syarat untuk beraksi di pentas berkenaan.
“Weng Son sebelum ini juga sudah meluahkan hasratnya untuk bersara di pentas antarabangsa dan kejohanan dunia nanti akan menjadi penampilan terakhir baginya,” kata beliau.
Dalam perkembangan sama, Kim Fatt turut berkata bahawa Weng Son adalah antara atlet wushu yang paling berpengalaman dan masih mewakili negara dengan baik, meskipun telah mencapai usia 32 tahun.
Dengan itu, pihak WFM menghormati keputusan Weng Son untuk bersara, tambahan pula dia telah menyumbang banyak kejayaan bagi Malaysia dengan memenangi pingat emas dalam kejohanan antarabangsa sebelum ini.
Untuk rekod, Malaysia berjaya meraih pingat emas tunggal dalam acara Changquan lelaki di Kejohanan Dunia Wushu 2023 di Texas, Amerika Syarikat, melalui penampilan gemilang Wong Weng Son.