Oleh: MOHD FARIQ

TEAM FLASH SUKAN  menerima jemputan pelancaran ke-100 tahun Piala Emas Raja-raja Ahad ini.

Terdetik di hati penulis bagaimana kejohanan yang muda setahun daripada Piala Malaysia atau asalnya Piala HMS Malaya ini boleh bertahan sejauh ini.

Tenggelam di tengah-tengah kerancakan Liga Super dan Piala FA berserta kejohanan yang sewaktu dengannya, Piala Emas Raja-raja ibarat hidup segan, mati tak mahu.

Penulis bersimpati kepada Persatuan Bolasepak Melayu Malaysia (PBMM).

Mereka adalah ahli gabungan kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), sebagaimana Persatuan Bolasepak Cina Malaysia (MCFA) dan Majlis Sukan India Malaysia (MISC)

Andai MISC berbangga dengan Piala Bardhan yang turut ditukar format beberapa kali, PBMM harus berbangga dengan Piala Emas Raja-raja.

Dalam kepayahan PBMM mencari dana untuk menghidupkan saingan yang menjadi mercu tanda kepada bola sepak Melayu, penulis terpanggil untuk Majlis Raja-raja yang dianggotai sembilan Raja-raja Melayu dan empat Yang di-Pertua Negeri untuk meluaskan fungsi mereka khas bagi melestarikan Piala Emas Raja-Raja.

Satu-satunya kejohanan yang bergelar Emas Raja-Raja yang sudah memasuki 100 tahun harus diangkat sebagai satu platform untuk kerabat diraja sama-sama meraikan bola sepak sebagai ejen penyatuan, sebagaimana lawatan rasmi Putera Edward, Prince of Wales, yang berkunjung ke Tanah Melayu pada Mac-April 1922, menghimpunkan rakyat jelata sehingga mencetuskan kejohanan ini.